
DALAT: Belanga Sungai Belutik dari Kampung Tanam milik Sanap @ Adap Bad dinobatkan sebagai johan Pertandingan Belanga Sagu sempena Karnival Balau Dalat 2026.
Tempat kedua dimenangi oleh Belanga Gadong milik Segie Kalang dari Kampung Sungai Ud Hilir, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Belanga Komuniti Kampung Tanam Seberang (Tengah) milik Francis Bu Janin.
Dua lagi penyertaan menerima hadiah saguhati, iaitu Belanga Kampung Hilir milik Sarimah Jamal dari Kampung Balan Hilir dan Belanga Kampung Terus milik Kamisah Junih dari Kampung Terus Oya.
Sementara itu, Esma Ezany Toney, 20, dari Kampung Balan Hilir muncul sebagai juara dalam acara MR Jed Challenge Tugau Balau yang turut diadakan semasa Karnival Balau Dalat 2026.

Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Fatimah Abdullah, pada Majlis Penangguhan Karnival Balau Dalat 2026 di Tebingan Dalat, hari ini.
Pertandingan Belanga Sagu merupakan antara acara tradisional yang menjadi tarikan utama karnival tersebut dalam usaha memelihara warisan masyarakat Melanau yang terkenal dengan industri sagu.
Dalat, yang merupakan kawasan penanaman sagu terbesar di Sarawak, sememangnya sinonim dengan pengeluaran pelbagai produk berasaskan sagu, termasuk balau.
Belanga pula memainkan peranan penting dalam proses penyediaan dan penghasilan produk tradisional tersebut, sekali gus menjadi simbol warisan yang terus dipelihara oleh masyarakat setempat.
Oleh Tarani Lanting