Penyerang Belanda, Cody Gakpo (tengah), meraikan jaringannya selepas menyempurnakan penalti untuk gol kedua Netherlands di Amsterdam. Foto AFP
AMSTERDAM: Belanda mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2026 dengan kemenangan bergaya 4-0 ke atas Lithuania di Amsterdam awal pagi tadi.
Skuad Oranje – finalis tiga kali pada 1974, 1978 dan 2010 – akan beraksi dalam Piala Dunia ke-12 mereka selepas menamatkan saingan di tangga teratas Kumpulan G, mengatasi Poland yang menang 3-2 di Malta dan perlu melalui pusingan play-off Mac depan untuk mara ke kejohanan di Amerika Utara.
Dengan kelebihan perbezaan jaringan +13 berbanding Poland sebelum perlawanan bermula, Belanda sebenarnya boleh layak walaupun tewas.
Namun pasukan Ronald Koeman tetap menghiburkan 50,000 penyokong di Arena Johan Cruyff dengan tempo permainan tinggi yang terlalu pantas untuk Lithuania, yang terpaksa bertahan hampir sepanjang masa.
Walaupun pertahanan lawan padat, Belanda menemui gol pembukaan pada minit ke-15 melalui Tijani Reijnders, hasil hantaran sempurna Frenkie De Jong.
Tuan rumah hanya mendahului 1-0 pada separuh masa pertama meskipun mendominasi perlawanan, berkat aksi cemerlang penjaga gol Lithuania, Edvinas Gertmonas.
Namun menjelang sejam permainan, Gertmonas tidak mampu menghalang Cody Gakpo menjadikan kedudukan 2-0 menerusi penalti selepas insiden handball.
Dua minit kemudian, Xavi Simons menolak bola masuk dari jarak dekat untuk jaringan ketiga.
Donyell Malen melengkapkan kemenangan dua minit selepas itu, sebelum Koeman membuat lima pertukaran pemain.– AFP