Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Belanda berjaya temukan semula topi keledar emas Romania berusia 2,500 tahun
  • GLOBAL

Belanda berjaya temukan semula topi keledar emas Romania berusia 2,500 tahun

Utusan Sarawak 11 hours ago
TOPI keledar emas Cotofenesti yang telah ditemukan semula serta dua gelang emas yang dicuri dari Muzium Drents dipamerkan di dalam kotak kaca di Assen pada 2 April 2026. Foto AFP

THE HAGUE, Belanda: Pihak berkuasa Belanda semalam mempamerkan sebuah topi keledar emas berusia 2,500 tahun dari Romania yang tidak ternilai harganya, yang telah dicuri tahun lalu dalam satu rompakan berani di negara itu.

Diapit oleh anggota polis yang memakai penutup muka, jurucakap pendakwa raya Belanda memperlihatkan Topi Keledar Cotofenesti emas dari abad ke-5 Sebelum Masihi serta dua daripada tiga gelang emas yang dicuri pada Januari 2025.

Pegawai polis Belanda, Corien Fahner, berkata, “Topi keledar Cotofenesti dan dua gelang emas Dacian telah berjaya ditemukan semula dan kami amat berbesar hati untuk mengumumkan perkara ini.”

Menurut Fahner, usaha mengesan gelang ketiga masih diteruskan.

Kecurian tersebut telah mencetuskan kemarahan di Romania serta mendorong operasi pencarian besar-besaran oleh pihak polis.

Detektif seni Belanda, Arthur Brand, telah mengesahkan penemuan itu kepada AFP beberapa jam lebih awal pada Khamis.

“Ia amat menakjubkan. Ini merupakan berita terbaik yang boleh kami terima,” kata Brand.

Sekumpulan perompak menggunakan bom bunga api untuk memecah masuk ke Muzium Drents di utara Belanda pada Januari 2025, sebelum memecahkan kotak pameran di dalam premis tersebut.

Tiga lelaki sedang dibicarakan atas kes kecurian berkenaan, namun kebanyakannya berdiam diri di mahkamah.

GAMBAR topi keledar emas Cotofenesti yang telah ditemukan semula semasa pembentangannya kepada pihak media di Muzium Drents di Assen pada 2 April 2026. Foto AFP

Brand berkata beliau bersama pihak polis telah menggunakan rangkaian hubungan bagi memujuk suspek yang disyaki supaya menyerahkan topi keledar tersebut sebagai pertukaran kepada hukuman yang lebih ringan.

“Kami hampir pasti bahawa artifak itu tidak dileburkan kerana hanya terdapat tempoh empat hari antara kejadian rompakan dan penahanan,” katanya.

“Ia merupakan satu usaha yang cemerlang oleh polis Belanda.”

Pengarah muzium, Robert van Langh, memberitahu pemberita bahawa terdapat sedikit kerosakan kecil pada topi keledar itu yang “amat sukar untuk dilihat.”

Menurut beliau, topi keledar tersebut boleh “dipulihkan sepenuhnya kepada keadaan asalnya,” sambil menambah bahawa dua gelang emas itu berada dalam “keadaan sempurna.” – AFP

Tags: Global

Continue Reading

Previous: Semeru meletus empat kali, kepulan abu setinggi 1,200 m
Next: Angkasawan Artemis meluncur ke Bulan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.