

BELAJAR bersabar, jangan rasa tercabar adalah satu nasihat yang sangat mendalam. Jika diteliti dengan terperinci, sabar adalah kekuatan dalaman dan bukannya tanda kita lemah apabila kita tidak bertindak atau membiarkan sahaja sesuatu berlaku di hadapan kita.
Pada satu sudut lain, bila kita tidak mudah rasa tercabar, kita sebenarnya sedang mengawal emosi dan itu tandanya kematangan.
Sabar Itu bukan sifat semula jadi bagi semua orang. Ia dipelajari dan dilatih dari pengalaman yang dilalui dalam kehidupan seharian.
Dalam kehidupan seharian kita, pelbagai ujian, tekanan, provokasi, kegagalan dan penghinaan akan kita tempuhi.
Belajar bersabar bermakna kita memilih untuk bertindak dengan tenang dan bukan bertindak balas secara emosi.
Allah SWT telah menjanjikan ganjaran yang istimewa kepada orang-orang yang sabar berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala untuk mereka dengan tidak terkira”. (Surah al-Zumar: Ayat 10)
Jangan Rasa Tercabar Oleh Perkara Yang Kecil
“Rasa tercabar” sering lahir daripada ego dalam diri kita dan ia bukan prinsip. Ego secara ringkas ialah kesedaran diri seseorang tentang siapa dirinya dan bagaimana dia berinteraksi dengan persekitarannya. Ia juga merujuk kepada rasa diri atau perasaan penting terhadap diri sendiri.
Kita sebagai manusia kadangkala memikirkan bahawa kita hebat dan siapa dia cuba hendak mempersoal atau menegur kita.
Bila seseorang mengkritik kita atau cuba menjatuhkan kita, respon spontan kita ialah rasa tercabar.
Tetapi jika kita berfikir dengan waras dan tenang menghadapinya, emosi kita terkawal dan mampu melihat penentuan Allah itu terhadap kita dengan cukup kebijaksanaan.
Insya-Allah kita tidak akan rasa terancam dan kita menjadi lebih fokus pada tujuan hidup dan tidak mudah beremosi sembarangan. Reaksi kita akan lebih ke arah penyelesaian.
Reaksi Lebih Ke Arah Penyelesaian
Dalam usaha kita menghindari rasa tercabar dan bagaimana kita boleh menyemai rasa sabar dalam diri, reaksi pertama ialah dengan menyemai dalam minda ke arah penyelesaian.
Tindak balas kita tidak terburu-buru dan penting menjaga reputasi dan jangan terlalu mudah merosakkan perhubungan sesama insan.
Dengan bersabar, kita memberi diri masa untuk berfikir dan bertindak dengan penuh kebijaksanaan. Jangan terlalu cepat respon sekadar hendak melepas geram atau menebus rasa kemarahan.
Apatah lagi dalam dunia digital dan semua boleh menjadi viral apabila direkod atau dirakam. Yang rugi adalah diri sendiri walhal orang lain yang memulakan provokasi tersebut.
Biar kita nampak pasif tetapi kita menyemai kesabaran secara strategik dalam pendekatan kita seterusnya.
Sabar Bukan Pasif Tetapi Kekuatan Secara Strategik
Orang yang sabar bukan lemah kerana mereka memilih untuk tenang. Mereka yakin bahawa tiba masanya nanti kebenaran akan dizahirkan dan yang penting kita perlu bersabar.
Justeru, tindakan balas yang bijak lebih bermakna daripada reaksi spontan yang mungkin boleh memakan diri sendiri.
Belajarlah kita bersabar kerana ia dapat mewujudkan kawalan pada diri kita. Jangan rasa tercabar kerana kita utamakan misi berbanding emosi.
Sabar bukan sekadar “menunggu tanpa keluhan,” tetapi menghasilkan ketenangan dalam tindakan kita menghadapi kesulitan tanpa perlu reaksi yang impulsif.
Dari segi ketahanan mental kita tidak mudah putus asa walaupun hasil tindakan muncul kemudian atau mengambil masa lama.
Semua ini tercetus kerana kita mampu menerima secara bijak dan memahami bahawa tidak semua perkara boleh diubah segera.
Prinsip Sabar Supaya Tidak Tercabar
Secara ringkasnya, sabar adalah seni mengawal apa yang layak dikawal dan melepaskan apa yang tidak boleh diubah.
Rasa tercabar itu hakikat manusia, tetapi jangan biarkan ia menghilangkan fokus dan kedamaian hati kita.
Kedamaian hati tercapai apabila seseorang menerima takdir dengan redha, menjaga hubungan dengan Tuhan dan sesama manusia, serta bebas daripada hasad dengki, dendam dan tekanan jiwa.
Ia juga datang apabila hati kita tenang, fikiran positif dan hidup sentiasa disemai dengan nilai-nilai kebaikan dan kejujuran.
Maka, semakin tinggi kesabaran kita, semakin luaslah jalan penyelesaian yang terbuka untuk kita.
Jalan penyelesaian dalam setiap ujian kehidupan kita akan dipermudahkan apabila kita sentiasa mendekatkan diri kita kepada Allah melalui solat, doa, zikir dan membaca kitab suci.
Kita memaafkan dan melepaskan rasa dendam dan sakit hati supaya ketenangan jiwa sentiasa tersemai dalam diri kita.
Kita berfikiran positif dan melatih minda kita untuk fokus pada kebaikan dan melihat peluang dalam setiap ujian.
Kita menjaga hubungan sesama manusia dengan sentiasa berlaku adil, hormat dan saling bantu-membantu.
Kesederhanaan dalam kehidupan kita dengan mengurangkan kebergantungan kepada material dan keseronokan duniawi.
Kita menerima takdir dengan redha serta memahami bahawa setiap yang berlaku ada hikmahnya.
Apa yang penting dalam semua ini, selagi kita hidup adalah dengan menjaga kesihatan fizikal dan mental melalui pemakanan sihat, rehat yang mencukupi dan senaman dengan cukup disiplin.
Semoga kita semua diberi kekuatan untuk melalui ujian kehidupan dengan bijak. Oleh itu, belajarlah untuk bersabar dan berusahalah untuk mengawal diri dari rasa tercabar.
Wallahu Alam Bissawab.