

KUCHING: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVS Sarawak) menjalin usaha sama strategik dengan Place Borneo Sdn Bhd, sebuah syarikat penganjur persidangan profesional dan pengurusan acara untuk menjalankan Program Pembasmian Rabies Sarawak.
Menurut kenyataan bersama DVS Sarawak dan Place Borneo, satu memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani hari ini oleh kedua-dua pihak dengan DVS Sarawak diwakili pengarahnya Datuk Dr Adrian Susin Ambud dan Place Borneo oleh ketua pegawai eksekutifnya Mona Abdul Manap.
Kedua-dua pihak mengesahkan bahawa MoU itu menyokong matlamat Sarawak untuk mencapai Sarawak Bebas Rabies menjelang 2030 menerusi kerjasama yang diperkukuh antara kerajaan dan sektor swasta.
Beliau dalam kenyataan sama berkata antara inisiatif utama di bawah Program Pembasmian Rabies berkenaan ialah Persidangan Rabies di Borneo (RIB) 2025 yang dijadualkan berlangsung dari 30 September hingga 1 Oktober kelak.
Persidangan itu akan mengumpulkan pakar, penggubal dasar dan komuniti tempatan serta antarabangsa untuk berkongsi amalan terbaik, menangani cabaran dan membangunkan strategi yang boleh dilaksanakan untuk pencegahan dan kawalan rabies.
“Selain Persidangan RIB 2025, usaha kami termasuk kempen pemvaksinan besar-besaran yang berterusan, program kesedaran pemilikan haiwan peliharaan yang bertanggungjawab, acara berjalan kaki haiwan peliharaan komuniti dan inisiatif akar umbi lain.
“MoU ini mencerminkan komitmen kami untuk menggerakkan semua pihak berkepentingan ke arah matlamat yang sama,” katanya.
Sementara itu, persidangan tersebut direka untuk melibatkan komuniti secara langsung menerusi pelbagai program yang memberi impak, termasuk pemacu vaksinasi besar-besaran, kempen pemilikan haiwan peliharaan yang bertanggungjawab dan aktiviti kesedaran awam lain yang disepadukan sebagai sebahagian daripada agenda persidangan.
“Place Borneo mempunyai keistimewaan untuk menyumbang kepada agenda pembasmian rabies Sarawak yang lebih luas.
“Persidangan Rabies di Borneo bukan sahaja akan menjadi platform untuk perkongsian pengetahuan tetapi juga bertindak sebagai pemangkin untuk memberi inspirasi kepada tindakan konkrit dan memupuk perkongsian yang lebih kukuh merentas sektor,” tambahnya.
– BERNAMA