KUALA LUMPUR: Bekerja dari rumah kini merupakan opsyen kekal, bukan hanya bagi tempoh sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sahaja, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Jalil Rasheed.
Dalam ciapannya di laman Twitter pada 7 Mei lepas, beliau berkata dana terbesar negara itu memperkenalkan cara bekerja dari rumah sebagai pilihan tetap malah kebanyakan mesyuarat dijalankan secara hibrid maya dan langsung.
“Kami dapat menangani semua kekangan bekerja dengan baik sejak dua bulan lepas secara maya. Tiada halangan dalam kami mengamalkan fleksibiliti ini secara kekal.
“Kami telah mencapai kemajuan besar dalam menggunakan teknologi, mesyuarat secara maya dan tandatangan digital, jadi momentum ini harus diteruskan walaupun warga kerja kembali semula ke pejabat,” kata Jalil, presiden dan CEO termuda PNB yang dilantik tahun lepas pada usia 38 tahun.
Beliau berkata ini sebahagian perancangan strategik yang dilancarkan PNB minggu lepas, satu bidang tumpuan adalah transformasi organisasi.
“Warga dan budaya adalah bahagian yang penting. Oleh itu, inisiatif ini amat sesuai,” katanya.
Bagaimanapun beliau berkata tidak semua tanggungjawab dan tugas dapat dilaksanakan dari rumah, seperti pemandu dan petugas keselamatan, namun pada dasarnya syarikat memberi pekerja pilihan untuk memilih bagaimana atau di mana mereka ingin bekerja.
Kakitangan dilengkapi dengan perkakasan teknologi, dan akan diminta memuat turun aplikasi MySejahtera untuk memastikan mereka boleh dijejaki sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingin.
“Kami juga akan mengeluarkan garis panduan kepada pengurus mengenai cara menguruskan pasukan yang bekerja secara jarak jauh dan berasingan, jawapan kepada soalan yang kerap ditanya, serta mengkhususkan petugas kepada mereka jika ada sebarang pertanyaan,” katanya.
Sementara itu, Jalil berkata PNB akan melanjutkan pelaksanaan bekerja dari rumah sehingga akhir Mei untuk memastikan pekerja dapat melakukan persiapan Aidilfitri dalam keadaan sekolah dan pusat penjagaan anak ditutup.
Beliau berkata memandangkan rata-rata warga PNB berusia dalam lingkungan 39 tahun, ramai yang mempunyai anak yang masih bersekolah.
“Kami akan bersikap fleksibel dalam perkara itu supaya dapat diselaraskan dengan pembukaan semula sekolah, memandangkan sudah menghampiri Aidilfitri, jadi lebih baik semuanya berapa di rumah dan kembali semula selepas itu,” katanya.
Mulai Jun 2020, Jalil berkata proses pekerja kembali semula ke pejabat akan dilaksanakan selama tiga bulan supaya tidak terlalu ramai pekerja dalam bangunan tersebut.
“Mereka yang dapat bekerja dengan baik di rumah akan terus berbuat demikian, dan sudah tentu sesiapa yang ingin kembali bekerja di pejabat, mereka dialu-alukan,” katanya.
Beliau turut berkata PNB akan memperkenalkan waktu kerja anjal iaitu pekerja boleh memilih tempoh bekerja yang diinginkan asalkan mereka menyelesaikan tugas mereka.
“Mereka boleh memilih untuk bekerja dari rumah apabila mereka mahu. Kuncinya adalah kepercayaan, dan kerap memaklumkan situasi anda kepada bos dan rakan sekerja selain sentiasa boleh dihubungi,” katanya.- Bernama