
KUALA LUMPUR: Terdapat banyak perdebatan tentang berapa banyak sebenarnya yang boleh dijimatkan melalui inisiatif Bekerja Dari Rumah (WFH) yang bakal dilaksanakan Kerajaan Persekutuan bermula 15 April ini.
Ada sesetengah pihak mendakwa sebarang manfaat daripadanya adalah kecil, dan terdapat juga hantaran di laman media sosial yang malahan menyatakan penjimatan bahan api sebenarnya kurang daripada kos elektrik tambahan yang perlu ditanggung oleh penjawat awam di rumah.
Dua pekerja Malaysia – seorang pekerja sektor swasta dan seorang penjawat awam – berkongsi pandangan mereka tentang BDR dan pengaturan kerja fleksibel mengenai topik ini.
Sheryl Teoh, yang telah sedekad bekerja dan baru-baru ini menyertai syarikat perkhidmatan pemasaran dan jualan berasaskan data perniagaan-ke-perniagaan yang berpangkalan di Pulau Pinang berkata pengaturan kerja fleksibel merupakan pertimbangan utama beliau dalam menerima tawaran kerja syarikat itu.
“Saya menyertai syarikat ini didorong terutamanya oleh sistem pengaturan kerja fleksibel. Ia kini satu pilihan tanpa halangan bukan sahaja untuk saya, tetapi untuk sebahagian besar pekerja hari ini.
“Pengaturan kerja fleksibel saya ialah jadual kerja hibrid dua hari bekerja dari rumah dan tiga hari bekerja di pejabat, tetapi walaupun pada hari kami pergi ke pejabat, kami tidak perlu menghabiskan sembilan jam di sana – bermakna kami boleh bekerja dari rumah terlebih dahulu dari 9.30 pagi dan datang (ke pejabat) pada tengah hari,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata syarikat berkenaan telah beralih kepada model kerja hibrid sejak beberapa tahun lepas dan pengaturan kerja fleksibel sudah menjadi kebiasaan bagi kebanyakan, jika tidak semuapun, pekerja syarikat.
Bagi Sheryl, manfaat yang diperoleh daripada pengaturan kerja fleksibel selain penjimatan petrol, parkir dan perbelanjaan makan diluar, inisiatif itu juga dapat mengurangkan tekanan setiap hari.
“Saya dapat mengelak menempuh kesesakan lalu lintas semasa waktu puncak, yang dapat mengurangkan tahap tekanan saya. Saya dapat menjimatkan masa yang perlu dihabiskan untuk berulang-alik dan dibazirkan untuk mencari tempat letak kereta.
“Saya kini dapat mengimbangi kerja-kehidupan dengan lebih baik lagi. Kurang masa yang dihabiskan untuk berulang-alik bermakna saya dapat menghabiskan lebih banyak masa melakukan perkara tidak berkaitan dengan kerja, yang memberi manfaat kepada saya,” katanya.
Sementara itu, penjawat awam Michael Tan berkata inisiatif BDR kerajaan itu akan memberi peluang kepada beliau dan rakan sekerja untuk menjimatkan beberapa perbelanjaan harian.
“Kami bekerja di Kuala Lumpur, tetapi sebilangan besar daripada kami terpaksa berulang-alik sejauh 20 hingga 40 kilometer setiap hari kerana kami tinggal di pelbagai daerah di Selangor.
“Seorang rakan sekerja sebenarnya tinggal di Nilai, Negeri Sembilan dan perlu menempuh perjalanan kira-kira 100 kilometer pergi dan balik kerja,” katanya sambil menambah apabila inisiatif ini bermula 15 April depan, mereka akan dapat menjimatkan masa perjalanan dan kos bahan api.
Walaupun inisiatif kerajaan ini adalah untuk menjimatkan bahan api, apa yang sama penting bagi beliau adalah mereka juga dapat menjimatkan bayaran tol.
“Saya akan dapat berjimat (bayaran tol) RM5 setiap hari untuk perjalanan dua hala, manakala sebahagian rakan sekerja saya akan dapat berjimat sekurang-kurangnya sehingga RM10 atau RM15 (sehari),” katanya sambil menambah mereka boleh mendapat penjimatan yang ketara antara RM120 hingga RM240 sebulan.
Beliau berkata jumlah yang dapat dijimatkan daripada pembayaran tol sepatutnya mencukupi untuk mengimbangi kos elektrik tambahan daripada penggunaan penyaman udara dan peralatan elektrik di rumah semasa BDR.
“Dan itu belum termasuk apa yang akan kita dapat jimatkan daripada petrol yang tidak kita gunakan,” katanya. – Bernama