Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Bekas wartawan penyiaran TV3 Karam Singh Walia meninggal dunia
  • SEMASA

Bekas wartawan penyiaran TV3 Karam Singh Walia meninggal dunia

Utusan Sarawak 7 hours ago
WARTAWAN penyiaran terkenal, Karam Singh Walia meninggal dunia pada 3.30 pagi tadi di kediamannya di Klang.

KUALA LUMPUR: Wartawan penyiaran terkenal, Karam Singh Walia meninggal dunia pada 3.30 pagi tadi di kediamannya di Klang.

Perkara itu dimaklumkan oleh adiknya, Jasbant Singh yang juga Pengarang Urusan Kumpulan (GME), Berita dan Hal Ehwal Semasa, Media Prima Berhad.

Dilahirkan pada 1959 di Teluk Intan, Perak dalam keluarga bekas anggota polis berketurunan Punjabi Sikh, Karam Singh, 67, memulakan kerjaya sebagai wartawan penyiaran di TV3 pada 1995 sebelum bersara pada 2014 berikutan masalah kesihatan.

Beliau yang dikenali sebagai antara wartawan alam sekitar paling berpengaruh di negara ini pernah memenangi Anugerah Seri Angkasa sebanyak dua kali serta Anugerah Institut Akhbar Malaysia (MPI) bagi kategori Wartawan Televisyen Alam Sekitar Terbaik selama empat tahun berturut-turut dari 2004 hingga 2007.

Mendiang merupakan antara rakan media yang menerima manfaat daripada Tabung Kasih @HAWANA pada Jun 2024.

Penolong Editor, Berita dan Ehwal Semasa TV3 Juliana Sharin berkata pemergian Karam Singh Walia akan terus dirasai rakan sejawat, yang menyifatkan mendiang sebagai figura yang memberikan inspirasi besar dalam dunia kewartawanan.

“Apabila berpeluang bekerja dalam satu pasukan ‘Aduan Rakyat’, ia menjadi satu kebanggaan buat saya, dan pastinya ruang untuk belajar daripada beliau. Suaranya tegas memperjuangkan kebenaran, namun hari ini, suara itu telah pergi.

“Karam Singh Walia bukan sekadar wartawan. Beliau ialah suara rakyat dan alam kerana dia tidak hanya melaporkan berita, tetapi mengubah cara kita melihat dunia. Perginya dirasai, namun legasinya kekal abadi,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, penyampai berita TV3 Nur Jamalina Mohamad Jamali berkata walaupun tidak pernah bekerja rapat dengan mendiang, beliau amat mengenali pendekatan serta sumbangan Karam Singh sepanjang kerjayanya.

Beliau berkata Karam Singh dikenali menerusi laporan kewartawanan alam sekitar yang konsisten dengan memberikan tumpuan terhadap isu pencemaran sungai, pembuangan haram dan penebangan hutan.

“Mendiang juga dikenali dengan gaya pelaporan yang tegas dan berprinsip, membawa perhatian kepada isu kepentingan awam dengan jelas dan penuh keyakinan, tanpa rasa takut,” katanya.

Nur Jamalina berkata Karam Singh turut mengekalkan kehadiran di lapangan dengan melaporkan secara langsung dari lokasi terjejas, sekali gus menambah kedalaman serta kredibiliti laporan.

Gaya penyampaiannya yang tersendiri menjadikan laporannya mudah dikenali penonton, termasuk kebiasaan mengakhiri laporan dengan pantun atau kata-kata ringkas yang berkesan.

“Sumbangan Karam Singh membantu meningkatkan kesedaran awam terhadap isu alam sekitar dan legasinya terus dirasai dalam kalangan komuniti kewartawanan negara,” katanya.

-Bernama

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Amaran ribut petir, angin kencang di 10 negeri hingga 8.00 malam ini
Next: Selat Melaka kekal titik sempit transit minyak terbesar dunia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.