

VIENNA: Hampir lapan tahun selepas kehilangan seorang wanita muda di Vienna, bekas teman lelakinya mengaku membunuhnya dan menyembunyikan mayatnya di kawasan latihan ketenteraan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Lelaki berusia 32 tahun itu kini disiasat sebagai suspek pembunuhan, menurut polis dan pendakwa raya di Vienna pada Selasa.
Menurut pihak berkuasa, mesej suara daripada suspek dan tekanan berterusan daripada penyiasat membawa kepada kejayaan besar dalam kes yang menarik perhatian umum Austria selama bertahun-tahun.
Pada Januari 2018, mangsa yang berusia 21 tahun ketika itu, dikenal pasti sebagai Jennifer S, dilaporkan hilang selepas gagal hadir bekerja.
Kecurigaan segera tertumpu kepada pasangannya yang berusia 24 tahun ketika itu, yang memberitahu polis mereka telah berpisah sebelum kehilangannya.
Pemeriksaan rapi dilakukan di pangsapurinya namun tiada bukti jenayah kekerasan ditemui pada masa itu, jelas penyiasat pada sidang media.
Rayuan awam serta operasi pencarian melibatkan ratusan anggota polis, anjing pengesan dan jentolak juga tidak membuahkan hasil.
Perkembangan penting berlaku tahun ini apabila mesej suara daripada satu perbualan dalam talian dihantar kepada polis.
“Dalam perbualan itu, dia bercakap tentang cara terbaik melupuskan mayat – mengelakkan meninggalkan sebarang kesan dan memastikan tiada sesiapa menemuinya,” kata penyiasat Wolfgang Lehner.
Selepas beberapa sesi soal siasat dan satu insiden keganasan membabitkan wanita lain baru-baru ini, lelaki itu akhirnya membuat pengakuan hujung minggu lalu, menurut penyiasat.
Dia mengaku mencekik Jennifer S pada 2018 apabila wanita itu mahu berpisah dengannya. Dia kemudian menyembunyikan mayat di bawah daun dan ranting di kawasan latihan Angkatan Tentera Austria berhampiran Vienna.
Rangka mangsa kemudian ditemukan semula.- Bernama-dpa