
LOS ANGELES: Daniel Bernard, bekas suami kepada penyanyi terkenal Australia, Sia Furler, kini menuntut nafkah bulanan melebihi AS$250,856 (RM1.2 juta) selepas pasangan itu berpisah pada Mei lalu.
Menurut laporan TMZ, Bernard turut memohon agar Sia membayar yuran guaman sekurang-kurangnya AS$300,000 (RM1.4 juta), serta AS$200,000 (RM950,000) bagi kos audit forensik berkaitan proses perceraian mereka.
Bernard, 47, mendakwa sepanjang tempoh perkahwinan selama 26 bulan, mereka menjalani gaya hidup mewah, termasuk mendiami sebuah kediaman seluas 9,500 kaki persegi di kawasan elit Toluca Lake, Los Angeles.
Rumah tersebut dikendalikan oleh 10 hingga 12 kakitangan tetap seperti butler, cef peribadi, tukang urut dan pakar IT, dengan perbelanjaan bulanan dianggarkan antara AS$400,000 hingga AS$500,000 (RM1.9 juta hingga RM2.4 juta).
Dokumen mahkamah yang diperoleh E! News turut mendedahkan bahawa Bernard telah menganggur sejak 1 April lalu, selepas Sia menghentikan pembiayaan terhadap usaha sama mereka, Modern Medicine, termasuk pembayaran gajinya.
Bernard menyatakan bahawa sokongan kewangan yang diterimanya pada masa ini hanya mampu bertahan sehingga Oktober 2025, dan beliau meminta mahkamah memastikan kedua-dua pihak berada dalam kedudukan kewangan yang setara sepanjang proses perundangan berlangsung.
Sia dan Daniel berkahwin pada Disember 2022 dan mempunyai seorang anak lelaki berusia 18 bulan, Somersault Wonder Bernard.
Sia telah memfailkan perceraian pada Mac lalu atas alasan perbezaan pendapat, selain memohon hak penjagaan penuh ke atas anak mereka, manakala Daniel diberikan hak lawatan.
Ini merupakan perceraian kedua bagi Sia, selepas perpisahannya dengan Erik Lang pada 2016.– Agensi