

POLIS kehakiman mengawal Mahkamah Agung Brazil semasa perbicaraan bekas Presiden Jair Bolsonaro atas tuduhan dia merancang rampasan kuasa selepas kalah dalam pilihan raya 2022, di Brasília pada hari Selasa.
BRASILIA: Bekas Presiden Brazil Jair Bolsonaro dijatuhi hukuman penjara selama 27 tahun tiga bulan pada Khamis selepas empat daripada lima hakim Mahkamah Agung Persekutuan mensabitkannya bersalah atas cubaan rampasan kuasa, lapor Xinhua.
Hakim Carmen Lucia dan Cristiano Zanin mengundi untuk mensabitkan kesalahan itu pada Khamis.
Bolsonaro didapati bersalah atas lima pertuduhan – merancang rampasan kuasa, cubaan memansuhkan sistem demokrasi melalui kekerasan, penglibatan dalam organisasi jenayah bersenjata, kerosakan harta benda, serta kemusnahan tapak warisan.
Mahkamah Agung Persekutuan membuka kes berkenaan pada 2 September, dengan keputusan sabitan memerlukan majoriti daripada lima hakim.
Pada Selasa, Hakim Alexandre de Moraes dan Flavio Dino mensabitkan Bolsonaro bersalah atas pertuduhan berkaitan, manakala Hakim Luiz Fux pada Rabu mengundi untuk pembebasan.
Bekas presiden berusia 70 tahun itu kini menjalani tahanan di rumah.
Bagaimanapun, beliau masih boleh membuat rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Agung Persekutuan.– Bernama-Xinhua