WELLINGTON: Bekas Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern menerima satu daripada anugerah tertinggi negara sempena ulang keputeraan diraja pada Isnin, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Ardern, yang meletak jawatan sebagai perdana menteri pada Januari, telah dilantik sebagai “Dame Grand Companion of the New Zealand Order of Merit” atas sumbangan beliau kepada negara.
Ini merupakan anugerah kedua tertinggi selepas Order of New Zealand, yang hanya dianugerahkan kepada 20 orang yang masih hidup.
Ardern, sebelum ini pernah menyatakan bahawa beliau percaya negara ini akan menjadi sebuah republik dalam hayatnya, berkata beliau “teragak-agak” untuk menerima anugerah itu.
“Tetapi saya telah mendengar saranan ramai rakyat New Zealand untuk menerima anugerah ini. Jadi bagi saya, ini adalah satu cara untuk mengucapkan terima kasih – kepada keluarga saya, kepada rakan sekerja, dan kepada orang-orang yang menyokong saya dalam melaksanakan peranan yang paling mencabar dan memberi kepuasan dalam hidup saya,” katanya dalam satu kenyataan.
Ardern diberi pengiktirafan atas perkhidmatannya semasa berdepan beberapa “cabaran terbesar yang dihadapi negara”, kata Perdana Menteri Chris Hipkins.
“New Zealand bertindak balas terhadap serangan pengganas pada 2019 (di Christchurch) dan pandemik Covid-19 merupakan cabaran yang hebat bagi Perdana Menteri ke-40 kita, di mana saya sendiri melihat bahawa komitmennya kepada New Zealand adalah mutlak.”
Ardern turut memberi tumpuan terhadap pengurangan kemiskinan kanak-kanak di New Zealand.
Beliau turut tersenarai dalam kategori “50 Pemimpin Terhebat Dunia” oleh Majalah Fortune pada 2021. – Bernama-dpa