
KUALA LUMPUR: Bekas penyampai radio terkenal Radio Televisyen Malaysia (RTM), Mariamah Tijo meninggal dunia pada usia 76 tahun, awal pagi tadi.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini pada kira-kira 5.00 pagi.
Anak sulungnya Muhammad Hafiez Othman, 53, berkata arwah ibunya dibawa ke hospital itu selepas mengalami sesak nafas pada malam Selasa lepas.
“Arwah mempunyai beberapa penyakit termasuk strok sejak empat tahun lepas, namun dimasukkan ke hospital dua hari lepas kerana sukar bernafas,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Jenazah akan dimandikan dan disolatkan di Masjid Darul Ehsan SS15 Subang Jaya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22 sebelum zuhur.
Allahyarham pernah menerima sumbangan menerusi inisiatif Tabung Kasih@HAWANA pada 20 Mac 2024. – Bernama