
KUALA TERENGGANU: Walaupun penerbitan akhbar Jawi kini sudah tinggal sejarah, namun bagi mereka yang pernah menggerakkan penerbitannya, pengalaman itu kekal menjadi antara kenangan paling berharga dalam kerjaya kewartawanan.
Bekas Penolong Pengarang Berita Utusan Melayu Nor Sedek Ismail berkata beliau masih mengingati tanggungjawab besar yang pernah digalas dalam memastikan berita terus disampaikan kepada masyarakat menerusi tulisan warisan Melayu itu.
Nor Sedek berkata ketika Utusan Jawi masih diterbitkan, beliau terlibat secara langsung dalam menyelaras tugasan editorial termasuk mengurus penugasan wartawan, menyemak bahan berita dan memastikan kandungan diterbitkan dalam tulisan Jawi dengan susun atur yang kemas dan teratur.
“Cabaran paling besar ialah memastikan ketepatan ejaan dan istilah Jawi kerana kesilapan kecil boleh mengubah maksud sesuatu perkataan serta menjejaskan kefahaman pembaca,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Bagaimanapun, beliau mengakui kekangan kewangan dan kurangnya sokongan berterusan menjadi antara faktor yang menyukarkan kelangsungan penerbitan akhbar berkenaan.

“Kita cuba bertahan sebab ini bukan soal individu, tetapi soal maruah bangsa dan warisan Melayu. Kalau tiada sokongan daripada syarikat atau pihak tertentu, memang susah untuk hidupkan semula penerbitan Jawi,” katanya.
Nor Sedek berkata selepas penerbitan Utusan Jawi dalam bentuk cetakan dihentikan dan usaha meneruskannya menerusi platform digital tidak lagi diteruskan, penggunaan tulisan Jawi dalam kehidupan harian semakin terhad dan kini lebih banyak dipelajari di sekolah agama serta kampung bagi tujuan pembelajaran kitab.
“Ramai generasi muda hari ini tidak lagi kenal Jawi sedangkan tulisan itu sebahagian daripada sejarah dan budaya Melayu,” katanya yang berharap lebih banyak usaha dilakukan termasuk oleh organisasi media untuk memperluas penggunaan tulisan Jawi dalam penerbitan dan platform digital.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Dr Razi Yaakob berkata perkembangan teknologi, dominasi tulisan Rumi dan penggunaan bahasa Inggeris yang semakin meluas dalam sistem pendidikan serta media antara faktor utama yang menyumbang kepada kemerosotan penggunaan tulisan Jawi.

Beliau yang juga Felo Institut Penyelidikan Produk & Ketamadunan Melayu Islam UniSZA berkata usaha menghidupkan semula tulisan Jawi perlu bermula di sekolah dengan sokongan kerajaan dan media, termasuk melalui kandungan kreatif dalam platform digital bagi menarik minat generasi muda.
Razi turut mencadangkan insentif seperti pelepasan cukai kepada premis yang menggunakan tulisan Jawi pada papan tanda bagi menggalakkan penggunaan tulisan itu di ruang awam.
Universiti juga boleh memperbanyakkan program, kelab dan modul berkaitan Jawi bagi menarik minat generasi muda mempelajari tulisan warisan itu.
“Tulisan Jawi bukan sekadar tulisan, tetapi sebahagian daripada identiti dan warisan ilmu orang Melayu Islam. Jika kita gagal mempertahankannya, kita berisiko kehilangan sebahagian daripada jati diri kita sendiri,” katanya.- Bernama