
PARIS: Seorang bekas pakar bedah Perancis dijatuhi hukuman penjara 20 tahun pada Rabu selepas mengaku mendera 299 pesakit, kebanyakannya kanak-kanak, lapor agensi berita Jerman dpa.
Dalam perbicaraan penderaan kanak-kanak terbesar di Perancis, Joel Le Scouarnec, 74, yang telah bersara, mengaku mendera 158 pesakit lelaki dan 141 pesakit perempuan dengan purata umur 11 tahun antara 1989 hingga 2014.
Pendakwa raya menuduh tertuduh memperlakukan mangsanya seperti objek tidak bernyawa tanpa sebarang empati, sambil mengambil kesempatan daripada kedudukannya sebagai doktor.
Beliau sering melakukan penderaan ke atas pesakit yang masih di bawah kesan bius atau kanak-kanak yang tidak mampu mengenal pasti tindakan tersebut sebagai penderaan.
Kes itu mengejutkan Perancis dan menimbulkan persoalan mengapa pihak berkuasa kesihatan tidak dapat menghentikan perbuatannya lebih awal memandangkan beliau pernah dijatuhi hukuman penjara tertangguh pada 2005 kerana kesalahan pornografi kanak-kanak.
-Bernama-dpa