
GEORGE TOWN: Bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Tan Sri Prof Emeritus Dzulkifli Abdul Razak cedera pada kepala selepas disamun berhampiran kediamannya di Taman Pekaka di sini, awal pagi tadi.
Menurut perkongsian laman Facebook Universiti Utara Malaysia (UUM), kejadian itu dikatakan berlaku ketika Dzulkifli dalam perjalanan pulang daripada menunaikan solat Subuh.
Hantaran itu memaklumkan bahawa bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu mengalami kecederaan pada kepala dan menerima 15 jahitan selepas dihentak dengan senjata yang dipercayai pistol.
Sementara itu, menurut kenyataan ahli keluarga yang dikongsi UUM di ruangan komen memberitahu bahawa Dzulkifli dalam keadaan selamat dan sihat.
Ahli keluarga memaklumkan akan berkongsi maklumat lanjut selepas siasatan polis selesai bagi mengelakkan sebarang spekulasi selain menzahirkan ucapan terima kasih atas keprihatinan, kefahaman dan kesabaran semua pihak.
UUM dalam hantaran tersebut turut menyatakan simpati atas kejadian yang menimpa tokoh akademik itu dan mendoakan kesembuhan beliau.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian berkenaan.
Katanya setakat ini polis telah menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan dan suspek akan dibawa ke mahkamah esok bagi mendapatkan perintah reman.
“Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut menerima panggilan memaklumkan kejadian itu pada 7.01 pagi dan insiden tersebut berlaku kira-kira 6.45 pagi, mangsa berusia 75 tahun mengalami kecederaan di kepala.
“Ekoran kejadian itu, polis telah menahan seorang lelaki di sini bagi membantu siasatan kes tersebut, siasatan lanjut juga sedang berjalan untuk mengenal pasti motif kejadian itu termasuk mengenal pasti senjata yang digunakan suspek,” katanya.- Bernama