Bekas murid kembali berbakti, sumbang RM1 juta untuk pembangunan SJK Chung Hua No. 5

Facebook
WhatsApp
CHEW Kien Liang (kiri) dan Ho It Chin menyaksikan penyerahan replika cek sumbangan RM1 juta oleh Dato Sri Kho Kah Beng (dua dari kanan) kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Sekolah Rendah Chung Hua No. 5, Datuk Chai Voon Tok (kanan).

KUCHING: Usahawan tempatan, Dato Sri Kho Kah Beng menyumbang RM1 juta bagi menyokong pembangunan serta peningkatan kemudahan pendidikan di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua No. 5, termasuk perancangan mewujudkan Pusat Inovasi yang dilengkapi teknologi moden.

Sumbangan berkenaan disalurkan selepas beliau menerima kunjungan hormat delegasi Jawatankuasa Pengurusan SJK Chung Hua Kuching No. 1 hingga No. 6 yang diketuai Pengerusinya, Datuk Chai Voon Tok, baru-baru ini.

Dalam pertemuan itu, pihak jawatankuasa berkongsi perkembangan terkini sekolah, termasuk kejayaan menyiapkan dewan serbaguna yang menjadi satu lagi pencapaian penting dalam usaha pembangunan berterusan sekolah berkenaan.

SJK Chung Hua No. 5 turut merancang menubuhkan Pusat Inovasi yang dilengkapi teknologi seperti dron dan pencetak 3D bagi menyediakan pengalaman pembelajaran secara amali kepada murid, selain memupuk minat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Selain itu, sekolah berkenaan turut merancang menaik taraf kemudahan sukan termasuk pembinaan gelanggang bola keranjang baharu, di samping bekerjasama dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam projek pertanian organik bagi menyediakan pengalaman pembelajaran lebih menyeluruh kepada pelajar.

Kho yang merupakan bekas murid SJK Chung Hua No. 5 berkata beliau berbangga melihat perkembangan serta transformasi yang dilalui sekolah berkenaan sejak dahulu.

Selepas mendengar penerangan mengenai perancangan pembangunan sekolah, beliau menyatakan komitmen untuk menyumbang RM1 juta bagi membantu merealisasikan inisiatif berkenaan.

Jawatankuasa Pengurusan SJK Chung Hua No. 5 merakamkan penghargaan atas sumbangan tersebut yang disifatkan sebagai contoh semangat memberi kembali kepada masyarakat, selain menjadi inspirasi kepada pihak lain untuk bersama-sama menyokong kemajuan pendidikan.

Oleh Afiq Sallehi