
TOKYO: Bekas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Sanae Takaichi pada Sabtu memenangi pemilihan presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Jepun dalam pusingan penentuan selepas menewaskan Menteri Pertanian Shinjiro Koizumi, lapor Kyodo News.
Menggantikan Perdana Menteri Shigeru Ishiba sebagai ketua parti, Takaichi dijangka menjadi perdana menteri Jepun yang baharu.
Antara lima calon yang bertanding termasuk Ketua Setiausaha Kabinet Yoshimasa Hayashi, bekas Menteri Keselamatan Ekonomi Takayuki Kobayashi dan bekas Menteri Luar Toshimitsu Motegi.
Ketua LDP baharu yang akan berkhidmat sehingga 2027 itu dijangka mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Jepun hujung bulan ini, memandangkan gabungan minoriti parti itu bersama sekutunya, Komeito masih kekal sebagai blok terbesar di Parlimen.
Takaichi, 64, yang bakal mencatat sejarah sebagai perdana menteri wanita pertama Jepun merupakan pilihan utama rakyat.
Sementara itu, Koizumi, 44, anak kepada bekas Perdana Menteri Junichiro Koizumi, meraih sokongan kuat dalam kalangan ahli Parlimen, menurut tinjauan media.
Pada awal September, Ishiba mengumumkan hasrat berundur bagi mengambil tanggungjawab atas kehilangan majoriti blok pemerintah dalam pilihan raya Dewan Kaunselor Julai lalu, sekali gus mempercepatkan pemilihan parti yang asalnya dijadualkan pada 2027.
Gabungan pemerintah juga kehilangan majoriti dalam pilihan raya Dewan Perwakilan pada Oktober 2024 di bawah pimpinan Ishiba, yang baru dilantik sebagai perdana menteri pada awal bulan itu. – Bernama-Kyodo