KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Datuk Jaafar Kamin meninggal dunia pada usia 81 tahun di kediamannya di Seksyen 9, Kota Damansara petang tadi.
Perkara itu disahkan ahli keluarga terdekat Allahyarham, Rosihan Anuar Ahmad kepada Bernama yang memaklumkan Jaafar meninggal dunia pada 3.15 petang.
Beliau memaklumkan jenazah akan dibawa ke Masjid Kuning, Seksyen 5, Kota Damansara untuk dimandikan, dikafankan dan disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9 Kota Damansara selepas solat Isyak.
Sebelum ini, Allahyarham dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh untuk menjalani pembedahan hernia kira-kira seminggu lepas sebelum dibenarkan pulang ke rumah pada Selasa.
Jaafar meninggalkan seorang balu dan dua anak perempuan.
Allahyarham antara Ketua Pengarah yang paling lama memegang jawatan itu, bermula 1988 hingga 1999.
Jaafar juga pernah menyandang jawatan Presiden Asia-Pacific Broadcasting Union (ABU) sejak 1992 hingga 1998. — BERNAMA