
Bekas ketua operasi Asia Tenggara Goldman Sachs, Timothy Leissner, tiba di Mahkamah Daerah AS Eastern District of New York untuk menghadiri prosiding hukumannya, di New York, Amerika Syarikat. - Foto AFP
NEW YORK: Seorang hakim Amerika Syarikat (AS) menjatuhkan hukuman penjara dua tahun kepada bekas jurubank Goldman Sachs yang menjadi watak penting dalam skandal 1MDB.
Hukuman itu diputuskan selepas pihak pendakwa memohon hukuman yang lebih ringan berikutan kerjasamanya.
Timothy Leissner, individu utama yang merancang skim rasuah dan sogokan besar-besaran membabitkan dana kekayaan negara Malaysia, akan mula menjalani hukuman penjara 24 bulan pada September ini, menurut jurucakap Jabatan Kehakiman AS.
Dia sebelum ini mengaku bersalah atas tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram di AS dan berdepan hukuman maksimum 25 tahun penjara.
Konspirasi 1MDB itu membabitkan berbilion dolar yang dikumpul bagi menyokong projek tenaga dan infrastruktur, tetapi sebaliknya diseleweng untuk membeli kapal layar, barang kemas serta barangan mewah lain.
“Kes ini mengakibatkan ‘satu-satunya kes jenayah yang pernah difailkan terhadap Goldman Sachs sepanjang sejarah 156 tahun’,” kata syarikat itu dalam pemfailan dokumen dikemukakan mahkamah yang menyokong hukuman berat.
Namun, pihak pendakwa memohon hukuman lebih ringan atas dasar Leissner telah memberi bantuan ‘luar biasa’ dalam siasatan selepas ejen persekutuan menahannya pada Jun 2018 sebaik dia turun dari pesawat antarabangsa di Washington.
Ringkasan kerajaan AS menyatakan Leissner mengadakan ‘mesyuarat maraton’ dan menyerahkan peranti elektronik.
Dia juga ‘memaparkan daya ingatan luar biasa dan bercakap dengan tepat mengenai apa yang diketahuinya mengenai skim itu, termasuk berulang kali menipu rakan sekerja di Goldman Sachs tentang tindakannya, kata Jabatan Kehakiman AS.
Leissner juga memberi keterangan terhadap Ng Chong Hwa atau Roger Ng, seorang lagi bekas jurubank Goldman Sachs, dalam perbicaraan di New York pada Februari 2022.
Ng dijatuhi hukuman 10 tahun penjara selepas disabitkan bersalah, tetapi masih belum memulakan hukumannya, menurut Jabatan Kehakiman.
Selain itu, Leissner memberikan maklumat yang membawa kepada pertuduhan AS terhadap Low Taek Jho, seorang ahli kewangan Malaysia yang dikenali sebagai Jho Low dan masih bebas.
Dalam sepucuk surat kepada mahkamah, Leissner, 55, menyifatkan jenayahnya sebagai ‘menggerunkan’ dan melahirkan kekesalan kerana kehilangan masa bersama anak-anak dan ibu bapa yang semakin berusia.
“Saya terpaksa secara terbuka mengakui bahawa saya membantu mencuri berbilion dolar bukan hanya daripada individu, tetapi daripada seluruh negara,” kata Leissner.
Bagaimanapun, Goldman Sachs menolak kerjasama Leissner.
“Apa saja akibat peribadi dan profesional yang ditanggung Leissner dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ia adalah kesan langsung daripada kelakuan jenayahnya yang berani dan keterlaluan, bukan kerana kerjasamanya,” kata syarikat itu. – AFP