BINTULU: Seorang bekas guru dipercayai suspek kes rogol membabitkan dua pelajar perempuan tingkatan dua di sebuah sekolah menengah di Sebauh di sini akhirnya didakwa di Mahkamah Bintulu semalam.
Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Bartholomew Umpit berkata, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan- Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta yang sama, yang dijalankan secara aplikasi zooming sekitar jam 2.45 petang.
Menurutnya, tertuduh berasal dari Kelantan itu direman selama lima hari di Penjara Pusat Koreksional Bintulu manakala sebutan semula kes ditetapkan pada 16 Januari ini.
Menerusi sebutan semula kes pada Isnin depan, tertuduh akan didakwa di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol, Seksyen 14 (a) AKSTK 2017 dan Seksyen 15 (a) akta yang sama.
“Jika sabit kesalahan dibawah Seksyen 14(a) AKSTK 2017, suspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun manakala Seksyen 14(a) AKSTK 2017 memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan dikenakan sebat.
“Bagi Seksyen 15(a) AKSTK pula, hukuman boleh dikenakan penjara tidak lebih 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Difahamkan, tertuduh sebelum ini menghilangkan diri dan dikehendaki pihak polis selepas disyaki sebagai suspek dalam kes rogol melibatkan pelajar sekolah menengah di Sebauh.
Bagaimanapun, tertuduh akhirnya dilaporkan berjaya dicekup di Thailand berikutan satu kenyataan yang dimuat naik di sebuah laman sosial Facebook.
Ogos lalu, dua pelajar yang menjadi mangsa rogol tampil membuat laporan polis yang mendakwa kejadian rogol itu berlaku di bilik muzik sekolah tersebut.
Oleh Carolyne Utih