KUALA LUMPUR: Bekas editor Radio Televisyen Malaysia (RTM), Sahbudin Abdullah meninggal dunia hari ini pada usia 73 tahun akibat sakit jantung.
Allahyarham dilaporkan meninggal dunia sekitar 1.30 pagi tadi ketika sedang memandu dalam perjalanan pulang ke kediamannya.
Berita kematian bekas editor RTM itu disahkan oleh anak lelakinya, Amrul Karim ketika dihubungi Bernama.
Menurut Amrul Karim, jenazah Allahyarham kini berada di Hospital Serdang dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Cheras Perdana pada 7.00 malam, hari ini.
Sahbudin yang berkhidmat di RTM sebagai petugas kontrak tidak berpencen selama 27 tahun sehingga 2017, juga merupakan penerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil di kediamannya di Cheras pada 4 Januari lepas, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin, dan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Arul Rajoo Durar Raj.
Sahbudin sebelum itu pernah berkhidmat di Utusan Malaysia sejak 1980 sehingga 1990, serta menjadi koresponden di Jakarta pada tiga tahun terakhir perkhidmatannya di syarikat tersebut. Beliau disahkan menghidap penyakit jantung sejak 2020. – Bernama