SIBU: Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM10,000 serta enam bulan penjara jika ingkar ke atas seorang bekas anggota polis kerana menyebabkan kematian rakan setugas pada Mei 2021.
Mohamad Nur Alif Mazlan, 30, mengaku bersalah terhadap tuduhan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pada asalnya, tertuduh dituduh membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Christopher Chin mengarahkan hukuman itu dimulakan dari tarikh tangkap.
Tertuduh telah membayar denda tersebut.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh menyebabkan kematian Norhalim Tumiran, 25, pada 6 Mei 2021 antara jam 5.45 petang hingga 6.30 petang di sebuah rumah di Lorong Permai Timur 9.
Mangsa ditemui mati dengan kesan tembakan pada bahagian atas telinga kanan.
Norhalim berasal dari Pahang merupakan rekrut baharu yang baru dipindahkan ke Unit Rondaan Bermotosikal Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti selama kira-kira sebulan ketika kejadian.
Tertuduh diwakili peguam bela Ranbir S. Sangha, manakala pendakwaan kes oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mark Kenneth Netto.
Sepanjang perbicaraan, seramai 17 saksi pendakwa telah dipanggil.
Oleh AKUN GIMAN