KUCHING: CMS Cement Industries Sdn Bhd hari ini memaklumkan bekalan simen kepada pelanggan mereka akan kembali seperti biasa menjelang minggu pertama November.
Dalam satu kenyataan, syarikat pembekal simen yang berpangkalan di Sarawak itu berkata, terdapat kekurangan bekalan bahan binaan berikutan penutupan kilang Mambong dekat sini untuk tujuan penyelenggaraan dan kelewatan yang tidak dijangka dalam penghantaran bahan mentah.
“Tambahan pula, pengeluaran di kilang Pending ditangguh lagi selama 14 hari disebabkan hujan lebat yang menjejaskan penghantaran bahan mentah,” katanya.
Sementara itu, bekalan simen ke seluruh Sarawak kekal tidak terjejas kerana permintaan di kawasan seperti Sibu, Bintulu dan Miri, ditampung oleh pengeluaran di kilang syarikat itu di Bintulu.
“Kami ingin memohon maaf atas kekurangan bekalan simen (dan) akan berusaha untuk memastikan bekalan simen yang stabil kepada semua pelanggan kami,” tambahnya. – Bernama