

SERIAN: Polis mengambil tindakan tegas dengan memotong bekalan elektrik di tiga premis perniagaan yang dipercayai dijadikan pusat pengoperasian kegiatan perjudian haram di sekitar daerah ini.
Ketua Polis Daerah Serian, Freddy Bian Stanislaus Bian berkata operasi tersebut dilaksanakan pada 5 Mac oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Serian dengan kerjasama Sarawak Energy Berhad Serian.
Menurutnya, operasi itu diketuai oleh seorang pegawai kanan polis bersama tiga anggota polis serta empat pegawai Sarawak Energy Berhad.
“Pemotongan bekalan elektrik ke atas ketiga-tiga premis tersebut dilakukan mengikut kuasa di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953 selepas premis berkenaan dikenal pasti menjalankan kegiatan perjudian haram,” katanya.
Beliau berkata berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 21A akta yang sama, mana mana premis yang telah dipotong bekalan elektrik tidak boleh disambung semula tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Polis Daerah.
“Pelaksanaan tindakan ini adalah bagi mengekang pertambahan kegiatan perjudian khususnya di Daerah Serian,” katanya.
Oleh Connie Chieng