
BAU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau memotong bekalan elektrik di dua premis di kawasan Siniawan hari ini selepas didapati terlibat dalam aktiviti judi dalam talian haram.
Ketua Polis Daerah Bau, Supt Mohd Haide A. Rahman berkata, operasi tersebut dijalankan dengan kerjasama Sarawak Energy Berhad susulan pemeriksaan dan tindakan penguatkuasaan.
Beliau berkata, dua premis yang terlibat ialah sebuah kopitiam di tingkat satu Siniawan Villa dan sebuah kafe di kawasan sama.
“Pemotongan bekalan elektrik dilaksanakan di bawah Seksyen 21A(1) Akta Suruhanjaya Tenaga Elektrik 1953,” katanya.
Mohd Haide berkata, operasi itu diketuai oleh seorang pegawai kanan polis bersama tiga anggota dari IPD Bau dengan bantuan dua pegawai Sarawak Energy Berhad.
“Sepanjang operasi dijalankan, keadaan adalah terkawal dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.
Beliau menegaskan tindakan penguatkuasaan seperti ini akan dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang serta membanteras aktiviti yang melanggar peraturan bekalan elektrik.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi undang-undang dan tidak terlibat dalam sambungan elektrik haram yang boleh membahayakan keselamatan diri serta orang sekeliling.
Orang ramai juga digesa menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti haram kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.
Oleh Connie Chieng