
MIRI: Program Derma Darah ‘Prihatin Komuniti 2026’ menerima sambutan menggalakkan apabila seramai 107 individu hadir mendaftar, dengan 90 daripadanya berjaya menderma darah di Aras 3, Dewan Pameran Pasar Raya Boulevard, di sini hari ini.
Program anjuran bersama Persatuan Prihatin Masyarakat Miri (PPMM) dan Seksyen Pemuda Persatuan Klan Lee Miri itu berlangsung dari 9.00 pagi hingga 1.00 petang dan bertujuan menambah bekalan Tabung Darah Hospital Miri yang kini berdepan kekurangan stok.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata orang ramai digesa tampil menderma darah bagi memastikan bekalan mencukupi menjelang musim perayaan akan datang.
Beliau berkata sambutan Tahun Baharu Cina, Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri lazimnya menyaksikan jumlah penderma menurun berikutan kesibukan orang ramai, sedangkan keperluan darah bagi kes kecemasan dan rawatan pesakit tetap berterusan.
“Pihak hospital perlu menyimpan bekalan darah yang mencukupi lebih awal bagi menghadapi sebarang situasi kecemasan. Justeru, saya menggesa lebih ramai individu dan pertubuhan tampil menderma darah,” katanya ketika berucap pada program itu.

Menurut beliau, Hospital Miri memerlukan bekalan darah daripada pelbagai kumpulan, khususnya kumpulan O dan B bagi menampung keperluan pesakit.
Sementara itu, Ketua Pemuda Persatuan itu, Lee Jun Tak dan Timbalan Presiden PPMM Andy Jong Wan Joon selaku pengerusi bersama penganjur berkata program berkenaan bukan sahaja membantu menambah stok darah, malah memupuk semangat perpaduan serta keprihatinan dalam kalangan masyarakat setempat.
Program itu turut mendapat sokongan beberapa penaja termasuk Tong Seng Huat Rice Trading Sdn Bhd dan Liansin Trading Sdn Bhd yang menyumbangkan 100 pek beras wangi satu kilogram, The Twin Brothers Patisserie (100 pek roti) serta Sarawak Oil Palm Berhad (100 botol minyak masak 500 mililiter) kepada 100 penderma terawal yang berjaya menderma darah.
Program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Tabung Darah Hospital Miri dan Persatuan Bulan Sabit Merah Miri, manakala pihak pasar raya tersebut menyediakan lokasi bagi menjayakan kempen tersebut.
Oleh Liong Chai Ling