
KOTA SAMARAHAN: Beberapa kawasan di Daerah Asajaya dijangka mengalami gangguan bekalan air berjadual pada Rabu iaitu esok, bermula 8.00 pagi hingga 5.00 petang.
Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa gangguan tersebut melibatkan Kampung Jemukan Hilir, Kampung Jemukan Hulu dan kawasan sekitarnya.
Menurut kenyataan itu, gangguan berkenaan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penyambungan paip bersaiz 160mm Polietilena Ketumpatan Tinggi (HDPE) yang dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik di Kampung Jemukan Hulu.
Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan untuk menyimpan bekalan air secukupnya bagi kegunaan sepanjang tempoh gangguan.
Pihak JBALB turut memberi jaminan bahawa bekalan air akan kembali pulih secara berperingkat selepas kerja-kerja tersebut selesai dijalankan.
Sebarang pertanyaan atau aduan, pengguna boleh menghubungi Call Centre JBALB Sarawak di talian 082-262211 atau JBALB Samarahan Careline di 082-673809.
Maklumat lanjut juga boleh didapati menerusi laman sesawang http://jbalb.sarawak.gov.my atau media sosial rasmi JBALB Sarawak.
Oleh Shikin Mahmud