KUCHING: Kerja-kerja baik pulih pada pintu injap 800mm oleh Lembaga Air Kuching (LAK) yang dilakukan pada malam semalam dijangka siap 10.00 pagi ini.
Seksyen Komunikasi Korporat dan Khidmat Pelanggan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) menerusi halaman Facebook rasminya berkata, bekalan air akan kembali pulih secara berperingkat dan akan mengambil masa yang lama terutamanya bagi kawasan yang jauh kerana melibatkan kerja-kerja flushing.
Gangguan bekalan air ini melibatkan para pengguna di sepanjang kawasan Jalan Sultan Tengah, Bandar Baru Semariang, Kampung Rampangi, dan seterusnya kawasan sekitarnya menuju ke Santubong (Kuching).
Pada masa sama, pihak JBALB akan terus mengaktifkan Pusat Pengumpulan Air Berpusat di beberapa kawasan strategik bagi memudahkan para pengguna untuk terus mendapatkan bekalan air bersih.
Antara lokasi-lokasi mendapatkan bekalan air bersih ialah di Bandar Baru Samariang, Taman Putri, Taman Family Park, Rampangi, Pasir Pandak, Pasir Panjang, Sungai Batu, Skim Rampangi, Sg Lumut, Buntal, Taman Sri Permai, Sg. Bedaun, CENTEX dan Santubong.
Pihak JBALB dan LAK juga menyediakan 11 lori tanker hari ini bagi penghantaran bekalan air ke kawasan-kawasan yang terjejas sehingga bekalan air kembali pulih seperti biasa.
Untuk sebarang aduan dan pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Call Centre JBALB Sarawak di talian 082-262211.
Segala perkembangan terkini akan dikemaskinikan menerusi laman FB rasmi JBALB Sarawak dan Rakan JBALB Bahagian Kuching.