SUATU ketika dahulu, beduk menjadi alat penting untuk memberitahu masuknya waktu solat atau ada kematian di kampung, bencana alam, meminta pertolongan orang kampung mahupun tanda waktu berbuka puasa dan bersahur.
Kini, beduk itu rata-rata tidak lagi digunakan apabila pelbagai teknologi canggih menggantikan fungsinya.
Namun di Surau Kebahagiaan Kampung Hilir Simanggang di sini masih mengekalkan tradisi memukul beduk sepanjang Ramadan ini.
Penghulu Abang Norin Abang Noruddin berkata Kampung Hilir dekat sini, sehingga sekarang masih mengamalkan tradisi memukul beduk sebagai tanda masuknya waktu berbuka puasa.
Beliau berkata beduk di Surau Kebahagiaan Kampung Hilir Simanggang dianggarkan berusia hampir lebih 60 tahun dan masih digunakan hingga kini.
“Di tempat lain mungkin kita tidak dapat dengar lagi bunyi beduk, tetapi kampung ini amat sinonim dengan bunyinya. Setiap kali masuk waktu solat mahupun berbuka puasa, beduk ini akan kedengaran dipalu.
“Beduk ini dibuat daripada kayu jenis empenit dan dihasilkan penduduk jati Kampung Hilir dikenali sebagai Allahyarham Abang Anyut Abang Mohamad,” katanya kepada Utusan Sarawak.
Menurutnya, kulit beduk diperbuat daripada kulit lembu yang telah dibuat oleh Allahyarham Abang Anyut sekitar 1960-an.
“Namun, pada Ramadan, beduk sebagai simbol perpaduan penduduk setempat. Dengan saiznya besar dan panjang, sudah tentu satu kampung dapat mendengar gema bunyinya.
“Ini tradisi yang perlu kita kekalkan sejak 60 tahun lalu dan sudah pasti menjadi pusaka turun temurun hingga generasi akan datang,” katanya.
Oleh ADI SAFARMAN