
SIBU: Basic Ecclesial Community (BEC) St Philip Taman Permai mencatat sejarah tersendiri apabila melancarkan logo rasmi komuniti Katolik Taman Permai sempena sambutan Hari Keluarga yang diadakan di Taman Tasik Permai, hari ini.
Majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Rev Father Raphael Samosir itu menyaksikan kehadiran lebih 70 keluarga daripada komuniti tersebut, mencerminkan semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan penganut Katolik di kawasan berkenaan.
Menurut Pengerusi BEC St Philip Taman Permai, Stanley Mike Ajah, logo baharu tersebut melambangkan nilai kekeluargaan Katolik yang menjadi tonggak kekuatan dan keutuhan gereja Katolik itu sendiri.
“Gereja asas dalam Katolik adalah isi keluarga dan teguhnya keluarga menjadi kekuatan dan keutuhan gereja,” katanya.

Tambah beliau, apabila kekuatan sesebuah keluarga digabungkan dalam bentuk komuniti, institusi gereja akan menjadi lebih mantap dan teguh.
“Maka, perpaduan di dalam BEC ini penting dalam semua perkara, bukan hanya dari sudut keagamaan, malah dari segi kerjasama antara satu sama lain dalam aktiviti lain,” ujarnya.
Stanley turut menyifatkan BEC St Philip sebagai sebuah keluarga besar yang saling memerlukan dan harus saling menyokong antara satu sama lain dalam segala aspek kehidupan.
Majlis tersebut turut diserikan dengan penyampaian sumbangan insentif pelajar kepada anak-anak ahli BEC St Philip yang mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan SPM dan STPM bagi tahun 2019 hingga 2024.
Selain itu, pelbagai aktiviti sukaneka serta jamuan makan turut diadakan bagi memupuk semangat kekeluargaan dan kerjasama dalam kalangan ahli BEC.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Penasihat BEC St Philip, Katekis Michael Ili, Sylvester Sandum, serta Pengerusi Penganjur, Dunstan Adeh.
Oleh Tarani Lanting