Caption: SIMBOLIK Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg melakukan simbolik penanaman anak pokok dan
seterusnya menyiram anak pokok pada Program Le Tour De Restoration (Greening Sarawak Campaign) Peringkat
Bahagian Bintulu, November lalu.
Penggunan teknologi dron dalam sektor pertanian semakin mendapat tempat dalam kalangan petani masa kini termasuk di Sarawak dalam memastikan pertumbuhan ekonomi pertanian mapan dapat diteruskan.
Selain itu, ia juga bertujuan merealisasikan salah satu matlamat pembangunan di Sarawak menerusi pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg iaitu mencapai status negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Sehubungan itu, antara salah satu usaha dilaksanakan dalam sektor pertanian adalah memperkenalkan pendekatan ‘bebola benih’ (seed ball) bagi memperkasakan lagi aktiviti penanaman semula pokok atau restorasi di Bumi Kenyalang ini.
Penggunaan ‘dron’ dalam pertanian
Ketika merasmikan Majlis Pelancaran Le Tour de Restoration (Greening Sarawak Campaign) Jabatan Hutan Sarawak (JHS) pada September lalu, Abang Johari berkata penggunaan teknologi dron diaplikasikan untuk menabur benih anak pokok di kawasan tertentu.
Menurut beliau, setiap bebola benih yang disalutkan dengan biji benih pokok mampu mencapai kadar percambahan 90 peratus selepas tujuh hingga 14 hari dengan kos penyediaan lebih murah.
Inisiatif JHS tersebut katanya, dilihat bertepatan dalam memudahkan aktiviti penanaman pokok di kawasan-kawasan yang sukar dimasuki seperti kawasan berbukit selain sukar diterokai.
Disebabkan itu, beliau melahirkan ucapan penghargaan JHS melaksanakan inisiatif itu dan memaklumkan bahawa ia adalah satu inovasi daripada perhutanan bagi memperkasakan program restorasi di Sarawak.
Sementara itu, berdasarkan kos kaedah yang jauh lebih murah berbanding kaedah lain, JHS serta pihak berkepentingan lain disarankan menjalinkan kerjasama bagi memperkasakan inisiatif penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Sarawak.
Program restorasi menghijaukan Sarawak
Di samping itu, Kerajaan Sarawak komited meneruskan usaha untuk menghijaukan negeri melalui pelaksanaan program restorasi landskap hutan dan Kempen Penghijauan Malaysia 2021-2025 seiring wawasan menjadikan Sarawak negeri maju menjelang 2030.
Program restorasi landskap hutan turut diangkat sebagai agenda utama menghijaukan bumi Sarawak disebabkan itu, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM62 juta kepada JHS dalam Rancangan Malaysia Ke-12 untuk tujuan itu.
Malah, pada tahun lepas sahaja, sebanyak RM10 juta telah disalurkan kepada JHS manakala kerajaan persekutuan menerusi Kementerian Tenaga dan Sumber Asli turut menyalurkan peruntukan sebanyak RM10.37 juta kepada JHS.
Mendedahkan kepada media, Abang Johari memberitahu, daripada jumlah itu sebanyak RM4 juta diperuntukkan bagi program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 juta pokok.
Sementara itu, sejumlah RM6.37 juta diperuntukkan bagi program tanaman bakau dan Program Restorasi Melalui Perhutanan Sosial (SOSIL) kepada JHS bagi melaksanakan aktiviti yang dirancang pada tahun lepas.
Bagi Kempen Program Penghijauan Malaysia, Kerajaan Negeri menerusi JHS menyasarkan untuk menanam sebanyak 35 juta pokok bagi tempoh lima tahun bermula tahun 2021 hingga 2025 dan beliau yakin Sarawak dapat mencapai sasaran penanaman berkenaan, katanya.
Untuk rekod, JHS berjaya menanam sebanyak lebih 10 juta pokok bagi tahun 2020 manakala sehingga 30 September 2021, sebanyak 6.78 juta pokok telah ditanam di seluruh Sarawak.
Bebola benih jenama ‘Sarabom’
Sebagai usaha meningkatkan aktiviti penanaman semula hutan di negeri ini, JHS tampil dengan penghasilan bebola benih jenama ‘Sarabom’ atau Sarawak Bom yang bakal memberi nafas baharu dalam bidang tersebut.
Dirasmikan oleh Abang Johari pada Program Le Tour De Restoration (Greening Sarawak Campaign) Peringkat Bahagian Bintulu November lalu, produk inovasi itu akan dijadikan ejen untuk penghijauan di negeri ini.
Usaha JHS membangunkan teknologi penanaman semula hutan tersebut merupakan satu lagi langkah drastik Kerajaan Negeri bagi mengekalkan kelestarian hutan di Sarawak.
Malah, inisiatif JHS membangunkan Projek Seed Ball: Throw and Grow Project menjadi bukti jelas kerajaan komited dalam memastikan Sarawak kekal hijau serta mengekalkan kelestarian hutan di negeri ini.
Menurut Abang Johari, penjenamaan bebola benih yang dikenali sebagai Sarabom atau Sarawak Bom adalah langkah terbaik bagi menanam semula hutan dengan penggunaan teknologi digital kerana ia boleh digunakan dengan kaedah baling atau tanam.
Katanya, penanaman bebola benih yang digabungkan dengan penggunaan dron akan menjadikan penyebaran biji benih lebih menjimatkan masa dan tenaga kerja serta lebih menyeluruh.
Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari berkata, pendekatan inovasi dan teknologi tinggi seperti penyemaian dan penyediaan anak-anak benih pokok perlu dilaksanakan bagi menyokong usaha restorasi yang berterusan di Sarawak.
Projek pembangunan di negeri ini katanya, harus bergerak seiring dengan pengekalan alam sekitar serta kekayaan biodiversiti yang ada dalam usaha mengekalkan kehijauan di Bumi Kenyalang yang memiliki hutan tropika dan habitat biodiversiti kritikal di Malaysia.
Oleh SYAMIMI HUSNA