SIMANGGANG: Sejumlah lima atau enam projek ‘sakit’ telah berjaya diselamatkan semenjak penubuhan pasukan bertindak khas (Task Force) oleh pihak Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Oktober lepas.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata dua lagi projek yang melibatkan pembinaan hospital dan klinik kesihatan masih lagi ditarifkan sebagai sakit dengan salah satunya adalah projek pembinaan Hospital Petra Jaya, Kuching.
“Kebanyakan kontraktor projek sakit berkenaan berhadapan dengan masalah bahan binaan dan pekerja dengan perkara tersebut akan diperhalusi di peringkat Task Force serta kementerian.
“Sebab itulah penubuhan Task Force ini perlu agar kita boleh betul-betul melihat sesuatu isu berkenaan secara terperinci dan menghulurkan apa sahaja bantuan yang diperlu bagi membolehkan projek sakit itu diselesaikan,”kata beliau.
Khairy berkata demikian pada sidang media bersempena dengan Majlis Pra Penyerahan Projek Hospital Sri Aman II di sini petang semalam.
Selain itu beliau pada sidang media itu juga berharap agar hospital baharu ini nanti akan dapat beroperasi sepenuhnya pada April tahun hadapan atau lebih awal lagi untuk mengenal pasti tahap kapasiti kemudahan itu sekiranya berlaku sesuatu tidak diingini.
“Gelombang Omicron di lain-lain negara kini agar serius. Justeru penting untuk hospital baharu ini beroperasi secepat demi membolehkan kita menyedia kapasiti kesihatan awam yang secukupnya untuk menghadapi gelombang Omicron,” kata beliau.
Pada Oktober lalu, Dato Sri Fadillah memaklumkan penubuhan pasukan bertindak khas bertujuan mencari punca kelewatan dan permasalahan yang berlaku serta kaedah penyelesaian melibatkan projek pembinaan hospital dan klinik kesihatan seluruh negara.
Hadir sama ialah Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha KKR, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia, Datuk Ir Mohamad Zulkefly Sulaiman dan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Rosmawati Ariffin.
Majlis turut diserikan dengan simbolik penyerahan replika kunci Projek Hospital Sri Aman II, lawatan ke sekitar kawasan dalaman kemudahan tersebut dan sesi bergambar beramai-ramai.
Terdahulu pelaksanaan Projek Hospital Sri Aman II dimulai dengan kerja-kerja tanah pada tahun 2012 yang melibatkan kos sebanyak RM8 juta sebelum ia disambung dengan kerja pembinaan hospital, kuaters dan bangunan sokongan dengan kos sebanyak RM181.4 juta.
Oleh VALENTINE NGUMBANG