
KRIAN: Beberapa projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian kini berjaya disiapkan hasil kerjasama erat antara Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Betong.
Pusat Khidmat ADUN Krian yang diwakili oleh David Jayan, mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik, telah mengadakan lawatan ke tapak-tapak projek bagi meninjau hasil pelaksanaan dan impak terhadap komuniti luar bandar.

Antara projek yang siap dilaksanakan termasuk kerja menaik taraf jalan di depan Rumah Anthony Melak dengan kos RM70,000, yang kini memberikan kemudahan lebih baik kepada penduduk setempat.
Projek lain turut melibatkan pembinaan parit simen di Rumah Tugau Brayang dengan peruntukan RM100,000 bagi meningkatkan sistem perparitan serta mengurangkan risiko banjir di kawasan berkenaan.
Di samping itu, JKKK Rumah Noel, Semurin turut berjaya menyiapkan projek menaik taraf parit tanah kepada parit konkrit dengan kos RM100,000, sekali gus memperkukuh sistem saliran bagi kesejahteraan penduduk.

Lawatan berkenaan turut memberi peluang kepada pihak Pusat Khidmat ADUN Krian menilai keperluan baharu yang boleh dimasukkan dalam perancangan RTP akan datang.
Friday Belik menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pelaksanaan projek-projek berkenaan, terutama JKKK dan agensi pelaksana di peringkat daerah.
Beliau berharap agar kemudahan yang disediakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk luar bandar bagi meningkatkan keselesaan, keselamatan dan taraf hidup komuniti setempat.
Oleh Adi Safarman