
SARATOK: Beberapa projek prasarana sukan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka akan dinaik taraf menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi memperkukuh kemudahan sukan di peringkat akar umbi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata usaha menaik taraf kemudahan sukan ini penting bagi memastikan masyarakat, khususnya golongan belia, mempunyai akses kepada fasiliti yang selesa dan selamat untuk menjalankan aktiviti riadah serta latihan.
Menurutnya lagi, antara projek yang akan dilaksanakan termasuk naik taraf gelanggang sepak takraw di Kampung Melango dan LAKIS, serta naik taraf gelanggang gasing Kenyalang di Kampung Tanjung Hulu melalui Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (SDO).
“Peningkatan infrastruktur sukan ini diharap dapat menarik lebih ramai masyarakat setempat untuk aktif bersukan sekaligus memupuk gaya hidup sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Hari Sukan Negara 2025 (HSN2025) Peringkat Bahagian Betong yang berlangsung meriah di Pentas Utama Sri Kalaka, Saratok, hari ini.
Program yang bertemakan ‘Malaysia Aktif’ itu dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sukan dan riadah melibatkan pelbagai peringkat umur, termasuk acara kayuhan MADANI 10km, larian ria MADANI 5km, senam cergas bersama Indai Tai Fitness Saratok, serta sepak mula ‘street soccer’ di Gelanggang Futsal LAKIS.
Mohamad Duri turut menegaskan bahawa pembudayaan sukan merupakan tonggak penting dalam meningkatkan kecergasan fizikal dan mental masyarakat, selain membuka ruang kepada pembangunan bakat baharu serta mengukuhkan perpaduan komuniti.
“Industri sukan bukan sahaja menyumbang kepada kesejahteraan rakyat, malah memberi impak ekonomi yang besar melalui sektor pelancongan, pengilangan dan perdagangan.
“Pemerkasaan industri ini akan memastikan pembangunan sukan negara lebih bersistematik dan bernilai tinggi,” katanya.
Tambah beliau, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan sepanjang Oktober sempena HSN2025 seperti Program Aktif Xpres di Betong, Sukan Komuniti Pribumi Sarawak di RTC Layar, serta senam sihat warga emas bersama PAWE Pusa dan Debak.
Dalam pada itu, Mohamad Duri turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Betong, Pejabat Residen Bahagian Betong, Mixter Netball Club, serta semua agensi kerajaan dan NGO yang terlibat dalam menjayakan sambutan tersebut.
Turut hadir pada majlis berkenaan, Pegawai Daerah Saratok, Mohammad Dino Amid; Pegawai Daerah Betong, Laga Kueh; Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Betong, Nurulzamzam Shafi’ie; Pemanca Lim Guan Ann; Pemanca Thomas Lamit serta ketua-ketua jabatan dan masyarakat setempat.
Oleh Adi Safarman