Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Beberapa penerbangan ke Asia Barat batal, Syarikat diarah ambil langkah mitigasi – Loke
  • SEMASA

Beberapa penerbangan ke Asia Barat batal, Syarikat diarah ambil langkah mitigasi – Loke

Utusan Sarawak 14 hours ago
BEBERAPA negara Asia Barat termasuk Qatar dan Emiriah Arab Bersatu dilaporkan telah membuka semula ruang udara mereka dan menyambung semula operasi penerbangan. Sementara itu, tinjauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mendapati perlepasan penerbangan ke Asia Barat disambung semula. Tiada penerbangan yang dijadualkan berlepas dilihat dibatalkan setakat 4.00 petang ini. Foto BERNAMA

SEPANG:  Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengesahkan beberapa penerbangan Malaysia ke Asia Barat dibatalkan susulan serangan terhadap pangkalan tentera Amerika Syarikat di Qatar awal pagi tadi.

Beliau berkata Notis kepada Juruterbang (NOTAM) telah dikeluarkan susulan kegusaran berhubung keselamatan pesawat yang melalui rantau berkenaan ketika serangan udara dijalankan.

“NOTAM dikeluarkan sebab ada konflik perang…jadi sudah tentu ada risiko kepada penerbangan udara.

“Memang mana-mana syarikat penerbangan pun tidak boleh melalui ruang udara tersebut sebab ia ditutup,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Berikutan perkembangan itu, Loke berkata semua syarikat penerbangan diarahkan mengambil langkah mitigasi bagi memastikan keselamatan penerbangan serta kebajikan penumpang tidak terjejas.

“Langkah mitigasi tentunya dibuat oleh syarikat penerbangan antaranya untuk menyediakan tempat penginapan sementara menunggu ruang udara dibuka semula,” katanya.

Loke berkata situasi berkenaan turut memberi kesan kepada penerbangan ke Eropah kerana pesawat tidak dibenarkan melalui ruang udara di Asia Barat.

“Banyak syarikat kini menggunakan laluan alternatif yang lebih jauh melalui ruang udara utara termasuk Afghanistan… Ini sudah dilaksanakan oleh syarikat penerbangan sejak dua minggu lepas,” katanya.

Gelombang penutupan ruang udara ini berlaku selepas Iran melancarkan serangan peluru berpandu secara besar-besaran ke atas Pangkalan Udara Al Udeid milik tentera AS di Qatar, semalam.

Tindakan itu berikutan serangan AS pada Ahad (22 Jun) ke atas tiga kemudahan nuklear Iran iaitu Fordow, Natanz dan Isfahan yang menandakan peningkatan mendadak dalam permusuhan.

Keadaan tersebut menyebabkan beberapa negara Arab menutup ruang udara mereka buat sementara pada lewat malam semalam sebagai langkah berjaga-jaga susulan ketegangan yang memuncak.

Bagaimanapun, beberapa negara Asia Barat termasuk Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dilaporkan telah membuka semula ruang udara mereka dan menyambung operasi penerbangan. 

Sementara itu, tinjauan Bernama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mendapati perlepasan penerbangan ke Asia Barat disambung semula.

Tiada jadual penerbangan dibatalkan lagi setakat 4.00 petang ini namun berlaku kelewatan melibatkan pesawat Qatar Airways QR845 ke Doha yang dijadualkan pada 8.20 malam.

Awal pagi tadi, dua penerbangan Malaysia Airlines ke Doha iaitu MH164 dan MH160R dibatalkan, dipercayai akibat penutupan ruang udara di destinasi berkenaan. -Bernama

Continue Reading

Previous: Aplikasi mudah alih MyGOV Malaysia dilancarkan bulan depan – Gobind

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.