



PENDUDK Palestin mengangkut beg bantuan makanan selepas menyerbu gudang Program Makanan Dunia di Deir el-Balah di tengah Semenanjung Gaza pada 28 Mei 2025. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 28 Mei mengecam sistem bantuan yang disokong AS di Gaza berikutan pengagihan makanan yang huru-hara di mana 47 orang cedera, selepas Israel membenarkan bekalannya masuk, menyebabkan Palestin menyekat minggu lalu. wilayah selama lebih dua bulan. Foto AFP
TEL AVIV: Kejadian berebut bantuan di sebuah gudang milik Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Semenanjung Gaza telah mengakibatkan beberapa orang maut, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) pada Rabu.
Sumber perubatan di Hospital al-Aqsa di Deir al-Balah melaporkan dua individu maut akibat dihimpit dalam kesesakan orang ramai manakala dua lagi terbunuh akibat tembakan.
WFP mengesahkan insiden berebut bantuan di sebuah gudangnya yang terletak di tengah-tengah wilayah Gaza yang dilanda konflik.
Menurut kenyataan yang disiarkan di platform X, “gerombolan orang ramai yang kelaparan” dilaporkan menyerbu gudang itu untuk mendapatkan bekalan makanan yang telah disediakan lebih awal untuk diagihkan.
Pertubuhan itu pada awalnya melaporkan dua kematian dan ramai yang cedera dalam insiden berkenaan.
Saksi kejadian memaklumkan berlaku kesesakan teruk di pintu utama gudang itu.
Terdapat juga laporan bahawa beberapa individu telah merobohkan dinding logam gudang untuk masuk ke dalam premis. Video di media sosial menunjukkan ramai orang menyerbu dan menjarah gudang itu sambil menjerit.
Susulan sekatan bantuan selama beberapa bulan oleh Israel yang hanya dilonggarkan sedikit baru-baru ini, ramai penduduk di wilayah itu berada dalam keadaan terdesak.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, turut dilaporkan kejadian penjarahan dan serbuan di pusat agihan bantuan baharu di kawasan berkenaan.
Menurut WFP, pihaknya “secara konsisten memberi amaran mengenai keadaan di lapangan yang semakin meruncing serta risiko akibat sekatan bantuan kemanusiaan kepada golongan yang kelaparan dan amat memerlukan bantuan.”
“Gaza memerlukan peningkatan segera bantuan makanan. Ini satu-satunya cara untuk meyakinkan orang ramai bahawa mereka tidak akan kebuluran,” menurut kenyataan itu.– Bernama-dpa