SIMANGGANG: Beberapa loji rawatan air di Sri Aman kini beroperasi pada tahap minimum susulan paras air di muka sauk yang terjejas akibat cuaca panas dan kering berterusan.
Menurut kenyataan media JBALB Bahagian Sri Aman hari ini, keadaan berkenaan memberi kesan kepada operasi loji rawatan air sekali gus menjejaskan bekalan air di beberapa kawasan.
Susulan situasi itu, JBALB Bahagian Sri Aman terus mengambil langkah segera dengan giat menghantar bekalan air ke kawasan yang terjejas bagi memastikan keperluan penduduk dapat dipenuhi.

Sehingga hari ini, penghantaran bekalan air telah dilaksanakan ke beberapa kawasan termasuk Pantu, Engkilili, Lingga, Seduku dan Stumbin.
Langkah berkenaan merupakan usaha berterusan pihak JBALB untuk membantu penduduk yang berdepan gangguan atau tekanan bekalan air sepanjang tempoh cuaca panas dan kering.
Dalam pada itu, JBALB Bahagian Sri Aman menyeru orang awam supaya mengamalkan penggunaan air secara berhemah serta mengelakkan pembaziran sepanjang musim kemarau.
Orang ramai juga diminta bersabar dan memahami situasi yang sedang dihadapi, selain menghargai usaha berterusan pihak JBALB dalam memastikan bekalan air dapat disalurkan ke kawasan yang memerlukan.

JBALB Sarawak akan menyalurkan segala maklumat dan perkembangan terkini menerusi laman Facebook rasmi JBALB Sarawak serta Rakan JBALB Bahagian Sri Aman.
Sebarang aduan atau pertanyaan boleh disalurkan kepada talikhidmat JBALB Sarawak di talian 082-262211.
JBALB Bahagian Sri Aman turut memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami penduduk dan akan terus berusaha menangani situasi berkenaan sebaik mungkin.
Oleh Adi Safarman




