
LUNDU: Beberapa jalan sekitar Pekan Sematan akan ditutup sempena Pesta Sematan 2025 mulai 25 hingga 27 Julai ini.
Ketua Polis Daerah Lundu, Superintenden Sudirman Kram dalam kenyataan media hari ini mengatakan bahawa penutupan beberapa laluan berkenaan bagi melancarkan pergerakan lalu lintas sepanjang festival ini berlangsung.
“Jalan yang ditutup ialah Jalan Lundu-Sematan bermula dari simpang 4 berhampiran tapak pesta utama menghala ke Pekan Sematan, Jalan Tanah Hitam-Waterfront Sematan dan Jalan Goh Kheng Hoon-Lorong Pekan Sematan 3, sepanjang Jalan Pekan Sematan-menghala ke tapak pesta dan Jalan Seacom-Sungai (Sg) Kilong bermula 25 Julai, pada 7.30 pagi hingga 27 Julai 2025, iaitu sehingga selesai majlis penangguhan Pesta Sematan.
“Pada 27 Julai, terdapat satu acara menggunakan jalan awam iaitu acara Duathlon melibatkan larian dan berbasikal bermula 6.30 pagi hingga 11 pagi yang akan melalui jalan-jalan tersebut.
“Antaranya larian 5 kilometer (km) melibatkan Jalan Pekan Sematan, Jalan Kampung Tanah Hitam sehingga Jalan Kampung Trusan Jaya Sematan dan larian 9 km melibatkan Jalan Pekan Sematan, Jalan Seacom, Jalan Sg Kilong.
“Selain itu, berbasikal 48 km melibatkan Jalan Sg Kilong, Jalan Kampung Siru, Jalan Kampung Pueh dan Jalan Pan Borneo menuju ke Sg Bedaun,” ujarnya.

Menurutnya, berikutan itu, pihak polis memohon kerjasama orang ramai untuk merancang masa perjalanan dan parkir kenderaan yang sesuai.
Katanya, orang ramai yang berhasrat memgunjungi pesta berkenaan boleh meletakkan kenderaan di Parkir A iaitu Medan Selera Sematan, Parkir B iaitu Padang Bola (berbayar) Jalan Sg Kilong, Parkir C iaitu perkarangan Masjid Noorul Islam dan Parkir D Anjung Usahawan Sematan.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu di talian 082-735399.
-Jabatan Penerangan Sarawak