
SARATOK: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Saratok telah digerakkan bagi melakukan pemantauan susulan Monsun Timur Laut (MTL) di beberapa kawasan berisiko banjir, terutamanya sekitar Roban, pagi tadi.
Menurut kenyataan rasmi APM Saratok, pemantauan ini melibatkan beberapa lokasi yang dikenal pasti berisiko banjir akibat hujan lebat berterusan sejak hari sebelumnya.
Hasil pemantauan mendapati beberapa kawasan rendah termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Roban, Jalan Rumah Belayong Empait Ulu Roban, Jalan Rumah Kaya Ulu Roban dan Jalan Nyiar Roban telah dinaiki air pada paras waspada.
Keadaan cuaca semasa dilaporkan baik, namun terdapat beberapa laluan jalan yang tidak dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan, dengan sebahagiannya hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat.

Walaupun begitu, situasi di semua lokasi masih terkawal dan tiada rumah penduduk yang terjejas setakat ini.
APM Saratok menegaskan bahawa pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan penduduk terus terjamin.
Setakat ini, tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka dan keadaan masih berada di bawah kawalan pihak berkuasa.
Penduduk yang menghadapi sebarang kecemasan dinasihatkan menghubungi APM Saratok di talian 083-436094 atau talian kecemasan 999.
Oleh Adi Safarman