
SARIKEI: Beberapa laluan jalan utama di sini akan ditutup secara berperingkat sempena penganjuran Separuh Maraton Tuanku Haji Bujang Sarikei 2025.
Menurut pengumuman Majlis Daerah Sarikei (MDS), penutupan jalan melibatkan jalan-jalan di kawasan bandar dan negeri, dan akan bermula pada 12.00 tengah malam ini, mengikut jadual rasmi serta keperluan kawalan keselamatan.
“Penutupan jalan melibatkan jambatan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang, Jalan Pasi – Sibu/ Tanjung Manis, Jalan Meranti, jambatan Sungai Nyelong, Jalan Nyelong By Pass, Jalan Repok, Jalan Masjid Lama, Jalan Baji-Sentebu dan jambatan Sarikei (jambatan ke Kampung Seberang).
“Turut ditutup adalah Jalan Nyelong, Jalan Market dan Jalan Getah untuk penyediaan pentas bermula 12.00 tengah malam hingga 10.00 pagi.
“Manakala, jalan jambatan akan ditutup dari 3.00 pagi hingga 6.00 pagi untuk pemasangan sistem pemasaan titik semak (check point),” katanya dalam satu pengumuman.
Tambahnya, turut ditutup adalah tempat letak kenderaan di dalam Dewan Suarah Sarikei dan kawasan sekitarnya.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk merancang perjalanan dengan baik. Utamakan laluan alternatif sepanjang tempoh tersebut.
“Maklumat penuh mengenai masa dan lokasi penutupan boleh dirujuk dalam infografik yang disediakan,” katanya.
Oleh Earl Anek