
MIRI: Beberapa laluan utama di Miri ditutup sementara pada 22 Julai ini bagi memberi laluan kepada acara Perarakan Perpaduan sempena Hari Sarawak 2025.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah dalam kenyataan memaklumkan bahawa penutupan jalan bermula 7.00 pagi hingga 9.00 pagi pada hari tersebut.
“Penutupan jalan sementara itu adalah melibatkan laluan perarakan bermula dari Stadium Tertutup Miri melalui beberapa jalan utama di bandar.
“Laluan yang akan digunakan sepanjang perarakan itu ialah Jalan Sukan, Jalan Kipas, Jalan Sylvia, Jalan Parry, Jalan North Yu Seng, Jalan Merpati dan kembali semula ke Jalan Sukan.
“Penutupan akan dilaksanakan secara berperingkat oleh pihak polis bagi memastikan keselamatan serta kelancaran acara,” katanya.
Sehubungan itu, katanya pengguna jalan raya dinasihatkan agar memberi kerjasama dan mematuhi arahan polis sepanjang acara berlangsung.
Tegasnya, orang awam juga digalakkan untuk merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan.
Sebarang pertanyaan berkenaan penutupan jalan sementara boleh diajukan kepada Bilik Gerakan IPD Miri di talian 085-433400 atau 085-433730.
Oleh Adum Liu