Beberapa jalan di Miri ditutup, dilencong sempena perarakan Maulidur Rasul

Facebook
WhatsApp
PETA menunjukkan laluan perarakan Maulidur Rasul 1448H/2026M sejauh dua kilometer bermula dan berakhir di Dewan Suarah, melalui Jalan Merdu, Jalan Silvia, Jalan Merbau, Jalan North Yu Seng, Jalan Merpati dan Jalan Kipas.

MIRI: Pengguna jalan raya di sekitar bandar raya ini dinasihatkan merancang perjalanan susulan penutupan dan lencongan beberapa laluan sempena Perhimpunan dan Perarakan Maulidur Rasul 1448H/2026M Peringkat Bahagian Miri, 25 Ogos ini.

Menurut  Ketua Polis Daerah,  Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee, perhimpunan dan perarakan itu dijadual bermula 7.00 pagi dan dijangka selesai pada 10.00 pagi.

Katanya,penutupan dan lencongan jalan pula akan bermula seawal 6.30 pagi, sebelum dibuka semula secara berperingkat selepas perarakan selesai.

“Antara laluan yang terlibat ialah Jalan Merdu, Jalan Sylvia, Jalan Merbau, Jalan Merpati dan Jalan Kipas.

“Beberapa laluan turut ditutup atau dilencongkan termasuk simpang Jalan Bintang/Jalan Merdu, simpang Jalan Merdu/Jalan Sylvia, simpang Jalan Post/Jalan Sylvia dan simpang Jalan Parry/Jalan Sylvia,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Turut terlibat ialah lampu isyarat Jalan Sylvia, lampu isyarat Jalan North Yu Seng, simpang-simpang di sepanjang Jalan North Yu Seng serta Bulatan Kipas menuju ke Jalan Kipas.

“Polis menasihatkan pengguna jalan raya supaya memberikan kerjasama dengan mematuhi arahan dan isyarat yang diberikan anggota bertugas bagi memastikan kelancaran perarakan.

“Masyarakat juga disaran merancang perjalanan lebih awal serta menggunakan laluan alternatif seperti Jalan Miri/Pujut dan Jalan Permaisuri,” katanya.

Pengguna jalan raya turut dinasihatkan mengelak melalui Jalan Sylvia, Jalan Merbau dan Jalan North Yu Seng sepanjang tempoh penutupan dan lencongan berkenaan.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Miri di talian 085-430479.

Oleh Liong Chai Ling