
SARATOK: Pembinaan kilang memproses beras baharu di Skim Padi Kampung Kaba, di sini, bakal menjadi pemangkin utama dalam usaha meletakkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka sebagai antara kawasan pengeluar beras utama di Sarawak.
Projek berimpak tinggi itu merupakan salah satu daripada perancangan strategik yang telah diatur di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) demi memacu sektor pertanian moden.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, beliau amat berharap agar projek yang dirancang dengan teliti ini dapat direalisasikan dengan jayanya demi impak jangka panjang yang positif.
Menurut beliau, kewujudan infrastruktur moden tersebut bukan sahaja akan mengubah landskap pertanian setempat, malah mampu merealisasikan impian menjadikan Kalaka sebagai hab keterjaminan makanan negeri.
Mohamad Duri menjelaskan bahawa pembinaan kilang beras serta pembangunan semula Skim Padi Kampung Kaba secara keseluruhannya adalah bertujuan untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi penduduk, khususnya di Kampung Kaba dan kawasan penanam padi yang berdekatan.
“Kita mahu melihat rantaian ekonomi masyarakat luar bandar di sini meningkat, sekali gus memberikan pulangan hasil yang lebih lumayan kepada para pesawah melalui sistem pemprosesan yang lebih sistematik,” katanya.
Bagi memastikan kelancaran fasa awal projek berkenaan, Setiausaha Kehormat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kalaka, Gapor Ahmad, telah mewakili ADUN Kalaka bagi mengadakan lawatan kerja ke tapak projek tersebut, semalam.
Lawatan tapak tersebut bertujuan untuk meninjau secara dekat kawasan cadangan pembinaan kilang memproses beras di dalam kawasan Skim Padi di Kampung Kaba bagi memastikan segalanya berjalan mengikut jadual.
Bagi fasa pelaksanaan dua projek utama ini, sejumlah RM4.8 juta telah diperuntukkan di bawah dana BDDA bagi membiayai pelbagai skop kerja infrastruktur yang komprehensif.
Peruntukan besar tersebut bakal melibatkan skop kerja utama seperti pembinaan bangunan kilang beras itu sendiri, selain pembinaan jalan akses yang lebih sempurna serta sistem pengairan yang cekap bagi skim tersebut.
Selain itu, kemudahan elektrik turut diberi perhatian melalui kerja-kerja penyambungan bekalan elektrik bertaraf 11kV, pemasangan penjana kuasa elektrik (generator), serta kerja-kerja kejuruteraan lain yang berkaitan.
”Pastinya pembinaan kilang beras ini nanti akan memanfaatkan petani sedia ada di lokaliti tersebut dengan mengaktifkan serta merancakkan semula aktiviti penanaman padi yang menjadi identiti kawasan ini,” ujar Mohamad Duri lagi.
Melalui kemudahan logistik dan sistem pengairan yang ditambah baik, para petani dijangka mampu mengusahakan tanaman mereka secara lebih optimum berbanding kaedah tradisional sebelum ini.
Beliau menambah, bagi menyokong pengoperasian kilang tersebut kelak, komuniti tani amat memerlukan suntikan teknologi baharu serta penggunaan benih hibrid termaju yang terbukti mampu mengeluarkan hasil tuaian yang jauh lebih banyak.
Oleh Adi Safarman