
KRIAN: Jaringan infrastruktur luar bandar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian terus diperkukuh menerusi pelaksanaan fasa pertama projek jalan ladang di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
Projek ini dijangka bakal memberikan impak positif yang signifikan kepada sosioekonomi penduduk setempat, khususnya dalam sektor pertanian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata, komitmen berterusan pihak kerajaan melalui BDDA terbukti dalam memastikan masyarakat luar bandar tidak tercicir daripada arus pembangunan.
Langkah proaktif ini diambil bagi memastikan rangkaian perhubungan domestik di kawasan ladang dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa.
Dalam pada itu, semalam satu lawatan pemeriksaan fizikal telah diadakan bagi meninjau status kemajuan serta kualiti pelaksanaan projek tersebut. Lawatan kerja ini memfokuskan kepada tapak projek jalan ladang di Tinting Ensoh dan Sungai Muding yang terletak dalam Daerah Saratok.
Lawatan pemeriksaan bersepadu itu diketuai oleh wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Saratok, Ohdira, bersama pihak BDDA yang diwakili oleh Stanley Unchi. Manakala, Pusat Khidmat DUN Krian pula diwakili oleh James Jimbun bagi pihak ADUN Krian.
Projek infrastruktur jalan ladang sepanjang 1.5 kilometer itu melibatkan implikasi kos keseluruhan bernilai RM200,000.
Laluan baharu ini dibina khusus untuk memberikan keselesaan dan keselamatan kepada para petani untuk mengusahakan serta mengangkut hasil pertanian mereka ke pasaran luar.
Jalan ladang yang diperiksa ini merupakan antara beberapa buah projek di bawah seliaan BDDA bagi kawasan DUN Krian yang telah mendapat kelulusan rasmi pada fasa satu. Pelaksanaan ini menjadi penanda aras penting terhadap fasa-fasa pembangunan seterusnya di kawasan tersebut.
Menurut pihak pengurusan projek, buat masa ini terdapat beberapa lagi siri projek jalan ladang di bawah fasa berkenaan yang kini sedang menunggu giliran untuk dilaksanakan dalam masa terdekat. Kesemua projek tersebut kini berada dalam pemantauan rapi pihak berkuasa bagi memastikan jadual pelaksanaan dipatuhi.
Turut serta dalam lawatan tapak berkenaan ialah wakil daripada pihak kontraktor utama, Syarikat Impian Bumiputra. Selain itu, firma Geospec Sdn Bhd turut hadir bagi menjalankan ujian ketebalan struktur jalan sebagai pemeriksaan tambahan demi menjamin kualiti dan jangka hayat jalan ladang tersebut.
Oleh Adi Safarman