
MIRI: Seramai 18 individu berumur 20 hingga 53 tahun ditahan dalam satu Ops Kesan yang diadakan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Miri, semalam.
Kenyataan AADK Miri hari ini berkata, dalam Ops Kesan tersebut seramai tujuh lelaki ditahan di Subis dan 11 lelaki lagi ditahan di kawasan Miri.
“Kesemua individu berkenaan ditahan kerana gagal hadir semasa dalam tempoh jaminan yang ditetapkan oleh pihak AADK.
“Semua individu yang ditahan telah diperintahkan untuk menjalani rawatan dan pemulihan dalam institusi di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Kuching selama dua tahun. Seterusnya, pengawasan dua tahun di bawah peruntukan Akta Penagih dan Penyalahgunaan Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.

Terdahulu, AADK Miri telah menahan seramai 24 orang individu kerana disyaki penagih dadah dalam Operasi Perdana Sarawak dan Operasi Bersepadu bersama rakan strategik di kawasan Miri dan Subis.
Kesemua individu yang ditahan positif ujian saringan awal dadah jenis methamphetamine dan ditahan di bawah Seksyen 3 Akta Penagih Dan Penyalahgunaan Dadah dan Bahan 1983.
Tambahnya, operasi yang bermula seawal 8.00 pagi itu melibatkan kekuatan seramai 14 pegawai AADK di beberapa lokasi berasingan di sekitar Subis dan Miri.
Operasi ini dilihat sebagai usaha berterusan AADK dalam memastikan kepatuhan terhadap perintah jaminan serta komitmen serius agensi dalam memulihkan individu yang terlibat dengan penagihan dan penyalahgunaan dadah.
Oleh Adum Liu