BDA sedia tong sampah RORO di lima lokasi hingga 2 Februari depan

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
BDA akan menyediakan tong RORO di beberapa lokasi di Bintulu bagi memudahkan kerja pembersihan sempena TBC 2025.

BINTULU: Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) akan menyediakan tong sampah jenis ‘Roll-On RollOff’  (RORO) di lima lokasi strategik mulai 20 Januari ini sehingga 2 Februari depan sebagai persediaan menyambut Tahun Baharu Cina.

Menurut satu kenyataan di laman Facebook BDA, lokasi penempatan tong RORO adalah Tamu Bandar Jaya, Pusat Komersil Fortune Park, Pusat Komersil Taman Desa Damai, Pusat Komersil BDA Lama (Jurutama) dan Pusat Komersil Taman Li Hua.

“Kami berharap penduduk setempat dapat memanfaatkan kemudahan ini untuk melakukan kerja pembersihan dan membuang sampah pukal secara teratur.

“Langkah ini adalah bagi memudahkan BDA membuat kutipan, sekali gus dapat memastikan kawasan sekitar berada dalam keadaan bersih dan selesa,” katanya.

Pada masa sama, BDA turut mengingatkan orang awam agar tidak melakukan pembuangan sampah haram yang boleh mencemarkan persekitaran.

Ujar kenyataan itu, ia adalah sejajar dengan visi BDA untuk menjadikan ‘Bintulu sebagai Hub Industri Karbon Rendah menjelang 2030’ dan melaksanakan pembangunan mampan seperti yang digariskan dalam Pelan Strategik BDA 2024–2030.

Dengan langkah-langkah tersebut, BDA terus komited untuk menyokong pembangunan hijau dan memastikan kebersihan bandar Bintulu.