METERAI PERJANJIAN… Pengurus Besar BDA Abdul Rahim Abdullah, Pengurus Besar BDA Datu Muhamad Yakup
Kari, Pengarah Urusan Borneo Parking System Sdn Bhd. Rahifa Abdul Rahman dan Pengurus Besar BPS Sdn Bhd.
Au Yong Kien Mun menandatangani perjanjian persefahaman di Auditorium BDA, Wisma Bintulu semalam.
BINTULU: Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) memperkenal kaedah meletak kereta tanpa kupon (digital parking) bagi memudahkan pembayaran tempat letak kereta di lot yang diwartakan di seluruh bandar.
Pengurus Besar BDA, Datu Muhammad Yakup Kari berkata, pengenalan sistem baharu itu selaras dengan saranan Kerajaan Sarawak yang ingin melihat Bintulu menjadi salah satu bandar di negeri ini mendapat pengiktirafan ‘Bandar Pintar’ menjelang 2030.
“Menerusi aplikasi ini, pengguna boleh membuat bayaran parkir kereta tanpa tunai menerusi telefon pintar.
“Dengan itu, kita menghampiri ‘cashless society’ yang sering diperkata dewasa ini,” katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian antara BDA Properties Sdn Bhd. dan Borneo Parking System (BPS) Sdn Bhd di Auditorium BDA, Wisma Bintulu pada Selasa.
Sesi menandatangani perjanjian itu turut disaksikan oleh Timbalan Pengerusi BDA, Dato Haidar Khan Asghar Khan.
Menurut Yakup, aplikasi tersebut dikenali sebagai BorneoParkBTU dan boleh dimuat turun secara percuma menerusi Android Play Store dan Apple Apps Store.
“Aplikasi ini boleh digunakan oleh orang ramai mulai 1 Mei ini. Untuk tujuan promosi dan menggalakkan penggunaan Aplikasi ini, tawaran percuma RM5 bagi seribu pengguna pertama yang mendaftar dalam bentuk tambah nilai akan diberikan,” jelasnya.
Tambah beliau, pengguna boleh mendaftarkan beberapa kenderaan serentak dan membayar tanpa perlu berada berdekatan kereta berkenaan.
“Jumlah tambah nilai yang boleh didapati adalah RM5, RM10, RM20, RM30, RM40 dan RM50. Pengguna boleh melakukan transaksi melalui Sarawak Pay, perbankan dalam talian dan kad kredit atau debit,” ujarnya.
Mengulas lanjut, katanya lagi, BDA kini mengorak langkah ke hadapan bagi memudahkan para pengguna khususnya di Bintulu di samping berharap ia akan mengurangkan rungutan mengenai pengunaan kupon selama ini.
Setakat ini, kira-kira 6,500 jumlah petak tempat letak kereta berwarta yang diurus oleh BDA Properties Sdn.Bhd, sebuah anak syarikat milik penuh BDA dan akan meningkat kepada 13,000 petak apabila lebih banyak kawasan lagi diwartakan kelak.
Difahamkan, sistem digital parking ini telah dilaksanakan di Bandar Raya Miri mulai 2021 dan sekarang mempunyai lebih 70,000 pengguna.
Sementara itu, di Bintulu, sistem tersebut akan berjalan serentak dengan kaedah kupon bagi tujuan memberikan pilihan kepada para pengguna.
Oleh CAROLYNE UTIH