
SIBU: Festival Kebudayaan Borneo (BCF), yang kini memasuki edisi ke-21, terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh keharmonian kaum, memulihara warisan budaya serta merancakkan ekonomi kreatif dan pelancongan tempatan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran berterusan festival itu sepanjang lebih dua dekad membuktikan kekuatan kerjasama pelbagai pihak serta semangat komuniti setempat dalam meraikan kepelbagaian budaya.
“Ketahanan festival ini mencerminkan visi, dedikasi dan kolaborasi kukuh antara penganjur, peserta, penggiat seni serta komuniti tempatan,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menterinya, Datuk Snowdan Lawan, ketika merasmikan pembukaan BCF 2025 bertemakan Irama Borneo, di sini semalam.

Beliau berkata, BCF bukan sahaja berperanan sebagai tarikan pelancongan utama di tengah Sarawak, malah turut menjadi platform penting bagi memperkasa identiti budaya masyarakat pelbagai kaum dan generasi muda.
“Ketika kita melangkah ke hadapan melalui Strategi Pembangunan Pasca-COVID 2030 (PCDS 2030), kita diingatkan bahawa kemajuan fizikal perlu diimbangi dengan pembangunan sosial dan pemeliharaan budaya.
“BCF memainkan peranan dalam usaha ini, bukan sekadar sebagai acara seni dan hiburan, tetapi sebagai pemangkin kepada pemerkasaan komuniti, keusahawanan kreatif serta diplomasi budaya,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur BCF, Mohammed Abdullah Izkandar Roseley berkata, festival ini menjadi platform inklusif yang membolehkan pelbagai komuniti termasuk Iban, Bidayuh, Melayu, Melanau, Cina, serta etnik lain dari Sarawak, Sabah dan Kalimantan yang menonjolkan identiti dan tradisi masing-masing secara terbuka dan harmoni.
“BCF adalah perhimpunan yang bukan sahaja mendidik dan menyatukan, tetapi turut membawa kegembiraan kepada masyarakat kita,” katanya.
Izkandar, yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), turut menjelaskan bahawa penganjuran tahun ini memberi penekanan kepada kelestarian, selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), dengan menggalakkan pengurangan sisa dan penggunaan tong kitar semula yang jelas.
Mengulas tentang reka bentuk pintu masuk utama festival, beliau berkata ia bukan sekadar elemen estetik, tetapi simbol perpaduan di antara tiga perkampungan mini mewakili kepelbagaian yang hidup bersatu dalam ‘rumah besar’ Sarawak.
Turut hadir pada majlis pembukaan ialah Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng; ADUN Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh; serta Pengerusi MPS, Clarence Ting.
Oleh Tarani Lanting