
KUCHING: Pembinaan Pusat Konvensyen Borneo Kuching 2 (BCCK 2) dijangka menjadi pemangkin ekonomi baharu bagi Sarawak, sejajar dengan peningkatan penganjuran acara berskala besar dan bertaraf antarabangsa di negeri ini.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Cahya Mata Sarawak Berhad (Cahya Mata), Dato Sri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib, projek bernilai RM550 juta itu, yang kini dalam pembinaan, mampu menampung sehingga 9,500 pengunjung pada satu masa, hampir dua kali kapasiti BCCK sedia ada.
“Ia secara langsung akan memperkukuh kedudukan Kuching sebagai destinasi pilihan penganjuran persidangan antarabangsa, pameran perdagangan, konsert dan acara korporat utama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Media Cahya Mata 2025 di sini, malam ini.
Beliau mengulas lanjut, pembinaan pusat konvensyen berkenaan bukan sekadar penyediaan infrastruktur, tetapi sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.
“Setelah siap kelak, ia dijangka menjadi pemangkin ekonomi negeri Sarawak selaras dengan peningkatan acara bertaraf antarabangsa yang diadakan di sini.
“BCCK 2 akan membawa limpahan ekonomi kepada pelbagai sektor termasuk perhotelan, pengangkutan, katering, peruncitan dan penyedia perkhidmatan sokongan acara.

“Lebih ramai pelawat bermaksud lebih banyak perbelanjaan domestik, peluang pekerjaan baharu dan perkembangan industri kecil sokongan di sekitar kawasan bandar,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pengamal media atas liputan berterusan terhadap projek-projek utama syarikat.
“Kerjasama rapat dengan media telah membolehkan maklumat pembangunan ini sampai kepada masyarakat dengan tepat dan meluas.
“Media adalah jambatan antara syarikat dan rakyat.
“Sokongan anda membantu kami memperkukuh hubungan dengan komuniti dan pemegang taruh,” ujarnya.
Majlis yang berlangsung dalam suasana santai itu turut menjadi platform untuk mengeratkan jaringan hubungan antara pengamal media dan kepimpinan Cahya Mata.
Oleh Masrin Affirah